PETALING JAYA: Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia Tahun Empat dan Tingkatan Tiga tidak memberi tekanan dalam konteks peperiksaan, sebaliknya membuka peluang untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi meningkatkan pencapaian murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, meskipun dilaksanakan secara berpusat, namun ia bukan sistem peperiksaan berisiko tinggi.
Beliau menjelaskan, Matriks Pembelajaran Tahun Empat bertujuan menilai pencapaian murid dari segi literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik.
“Matriks Pembelajaran Tingkatan Tiga pula menilai pencapaian murid dari kemahiran bahasa, pengetahuan, aplikasi, penaakulan dan kemahiran proses saintifik,” katanya dalam Facebook beliau.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Matriks Pembelajaran Tahun Empat membolehkan pencapaian murid dinilai bagi merangka program intervensi literasi dan numerasi serta mendukung Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan kurikulum baharu persekolahan.
“Ini bermakna ruang untuk intervensi boleh dilaksanakan semasa murid berada di Tahun Lima dan Enam serta membantu persediaan murid sebelum memasuki sekolah menengah, dan bagi menghadapi pentaksiran peringkat antarabangsa seperti SEA-PLM, TIMSS dan PISA,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan tidak memberi tekanan, sebaliknya membuka peluang untuk mengenal pasti ruang tambah baik bagi meningkatkan pencapaian murid. – UTUSAN








