KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan memperketat tadbir urus dan kawalan dalaman susulan kekecewaan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berhubung penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu rasuah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian memandang serius teguran baginda dan akan menjadikannya sebagai pengajaran bagi memastikan integriti serta disiplin dalam ATM terus diperkukuh.
Menurutnya, sebarang bentuk ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan tidak akan dikompromi kerana ATM merupakan institusi strategik negara yang perlu mengekalkan kepercayaan rakyat.
“Kementerian akan memastikan setiap keputusan dan urusan penting dilaksanakan mengikut peraturan, proses serta kerangka perundangan yang ditetapkan.
“Langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengelakkan kelemahan yang berlaku sebelum ini berulang, selain memastikan ATM kekal sebagai institusi pertahanan yang berintegriti dan berwibawa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sasar Residensi Satria di Sungai Besi di sini hari ini.
Terdahulu, Dalam Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda atas kes rasuah melibatkan pegawai tertinggi ATM yang dibongkar baru-baru ini.
“Suka saya ingatkan, segala perancangan yang dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa. Saya pernah sebut dahulu, saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam ATM sehingga peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT),” titah Baginda.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, langkah-langkah pembetulan sedang dan akan dilaksanakan termasuk memastikan setiap keputusan penting, khususnya melibatkan urusan strategik dan pelantikan jawatan tertinggi, dibuat mengikut proses, peraturan serta kerangka perundangan yang ditetapkan.
Tambahnya, kementerian juga akan memperkukuh budaya disiplin dan akauntabiliti dalam kalangan kepimpinan serta warga ATM bagi memastikan institusi pertahanan negara kekal diyakini, dihormati dan bebas daripada sebarang amalan yang boleh mencemarkan imej angkatan tentera. – UTUSAN










