PORT DICKSON: Kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bukan satu perjanjian yang mengikat selama-lamanya, sebaliknya dibuat bagi membolehkan kerajaan dibentuk di peringkat Pusat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persetujuan tersebut dibuat untuk membolehkan kerajaan diwujudkan di peringkat Persekutuan dan tidak sepatutnya mengikat apabila tiba pilihan raya negeri.
“Saya percaya apabila tiba pilihan raya, perkara pertama yang perlu difahami ialah pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah hasil persetujuan yang dimeterai bagi membentuk kerajaan pusat.
“Ia bukan satu tandatangan kontrak sampai mati atau yang mengikat selama-lamanya,” katanya selepas menyempurnakan Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Sirusa di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kempen calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang kini banyak menyerang calon Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa mereka tidak mengenang budi dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut Mohamed Khaled, perjanjian tersebut dibuat bagi membolehkan kerajaan dibentuk di peringkat Persekutuan dan sepatutnya tidak mengikat apabila tiba pilihan raya negeri.
“Kita sedia maklum keadaan pada ketika itu memaksa kita bekerjasama demi menyelamatkan negara supaya mempunyai sebuah kerajaan.
“Apabila tiba masanya untuk kembali mendapatkan mandat rakyat, maka pelbagai parti menawarkan diri untuk kembali kepada rakyat dan biarlah rakyat buat keputusan,” katanya. – UTUSAN










