PETALING JAYA: Semua mangsa yang mengalami sesak nafas dalam kejadian kebocoran gas amonia membabitkan sebuah lori di susur masuk Plaza Tol Seremban arah Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu berada dalam keadaan stabil.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan berkata, dalam insiden itu seorang jurutol, seorang pengawal keselamatan dan seorang pemandu lori terdedah kepada gas berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini berada di bawah pemantauan pihak perubatan,” katanya menerusi kenyataan.
LLM memaklumkan, sejurus menerima makluman mengenai kejadian itu, prosedur keselamatan sedia ada telah diaktifkan termasuk penutupan sementara kawasan terjejas bagi mengelakkan risiko lanjut kepada pengguna lebuh raya dan petugas bertugas.
Katanya, pihak konsesi lebuh raya dengan kerjasama pasukan kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi berkaitan telah digerakkan untuk mengawal keadaan dan memastikan situasi kembali selamat sepenuhnya.
Dalam pada itu, LLM menyeru semua pengendali kenderaan berat khususnya lori yang membawa bahan berisiko supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan dan penyelenggaraan kenderaan berada pada tahap terbaik sebelum beroperasi.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan pihak konsesi demi keselamatan bersama,” katanya. – UTUSAN









