MELAKA: Sebarang langkah mengehadkan tempoh jawatan kepimpinan perlu diteliti secara menyeluruh kerana pelaksanaan sesuatu dasar politik memerlukan tempoh masa yang panjang bagi memastikan keberkesanannya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perubahan kepimpinan dalam tempoh singkat berisiko menyebabkan dasar yang sedang dilaksanakan tergantung apabila pendekatan baharu diperkenalkan sebelum dasar terdahulu disempurnakan.
“Saya melihat dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa, isu had tempoh dua penggal ini perlu diteliti secara mendalam kerana perubahan sesuatu dasar politik lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.
“Sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan dalam tempoh singkat, dasar yang sedang berjalan berisiko tergendala apabila pendekatan baharu diperkenalkan sebelum pelaksanaan terdahulu sempat diselesaikan,” katanya selepas lawatan hari pertama persekolahan dan penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam, Tanjung Kling, di sini, hari ini.
Ab. Rauf mengulas cadangan Perdana Menteri untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.
Ab. Rauf berkata, sebarang keputusan berkaitan had tempoh jawatan kepimpinan di Melaka akan dibuat selaras dengan keputusan Parlimen dan negeri tidak semestinya terikat dengan amalan kepimpinan sebelum ini.
“Ini bukan soal Melaka akan ikut atau tidak, sebaliknya keputusan tersebut adalah keputusan Parlimen dan hanya boleh dibuat dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
“Kerajaan negeri akan meneliti perkembangan ini secara dekat dan membuat kajian sama ada pelaksanaannya memberi pulangan politik serta manfaat yang baik kepada kestabilan dan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau menegaskan, kestabilan dasar amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri dan mengelakkan perubahan hala tuju setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan. – UTUSAN









