KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti semula garis panduan jenama makanan dan minuman (F&B) asing termasuk memperhalusi kategori perniagaan berdasarkan model operasi semasa selaras dengan perkembangan pesat kemasukan jenama itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kerajaan juga sedang memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 atau penggubalan undang-undang baharu berkaitan e-dagang untuk dibawa ke sidang Parlimen akan datang.
Katanya, antara fokus utama perundangan ini adalah menutup jurang pematuhan antara peniaga tempatan dan penjual luar negara.
“Selain itu, memastikan standard pematuhan sama dapat dikuatkuasakan serta meletakkan tanggungjawab dan liabiliti lebih jelas kepada penyedia platform e-dagang dalam dan luar negara.
“KPDN komited memastikan struktur pasaran kekal seimbang, persaingan berlaku secara adil dan kepentingan pengguna terus dilindungi, selain memperkukuh daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi berkaitan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai langkah-langkah diambil bagi mengawal keagresifan jenama F&B asing seperti Mixue, Chagee dan Auntea Jenny serta platform e-dagang yang menetapkan harga pasaran sehingga mengancam kelangsungan perniagaan PMKS tempatan.
Menurut Fuziah, kerajaan juga mengalu-alukan pelaburan asing yang membawa nilai tambah, tetapi semua pihak mesti menghormati undang-undang negara dan bersaing secara adil tanpa menindas pemain industri tempatan.
Katanya, kerajaan tetap mengutamakan kelangsungan PMKS tempatan walaupun mengamalkan prinsip ekonomi terbuka dan tidak akan membiarkan sebarang manipulasi pasaran mengganggu daya saing mereka.
“Prinsip keadilan pasaran dan persaingan adil tidak boleh dikompromi termasuk dalam situasi syarikat asing memasuki pasaran tempatan. Kerajaan memastikan PMKS tempatan mempunyai ruang yang adil untuk berkembang tanpa digugat oleh pemain luar yang menggunakan strategi tidak sihat,” katanya.
Fuziah berkata, penglibatan syarikat asing dalam sektor perdagangan pengedaran tertakluk kepada Garis Panduan Penyertaan Entiti Syarikat Asing dalam Industri Pengedaran Perdagangan yang dibangunkan pada 2020.
“Antara syarat utama ialah syarikat perlu diperbadankan di Malaysia, mempunyai modal minimum RM1 juta dan mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Perdagangan Pengedaran KPDN sebelum memulakan operasi.
“Bagi premis dengan keluasan lantai jualan melebihi 5,000 meter persegi, kajian kebolehlaksanaan dan impak turut dilakukan bagi memastikan aktiviti syarikat asing tidak menjejaskan kelangsungan dan daya saing PMKS tempatan,” katanya. – UTUSAN










