PETALING JAYA: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan terdapat empat ketetapan serta dasar dikemaskini berhubung Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
MOF berkata, Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan diperbaiki bagi memanfaatkan industri mulai 1 Januari 2026 dengan kadar cukai dikurangkan daripada lapan peratus kepada enam peratus.
Katanya, had jualan tahunan bagi penyewa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang dikecualikan daripada membayar Cukai Perkhidmatan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.
“Bagi PMKS baharu, pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan diberikan selama setahun bermula dari tarikh pendaftaran perniagaan.
“Kedua, Cukai Jualan ke atas bahan mentah atau input kritikal yang digunakan oleh pengilang berdaftar diberi pengecualian mulai 1 Januari 2026.
“Langkah ini bertujuan mengawal harga barangan keperluan asas, termasuk pengeluaran barangan pertanian dan penternakan seperti makanan ternakan, baja dan racun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, MOF berkata, terdapat pengecualian Cukai Perkhidmatan bagi perjanjian pembinaan yang ditandatangani sebelum 1 Julai 2025 dan tidak mempunyai reviewable clause dilanjutkan sehingga 30 Jun 2027 berbanding tarikh asal 30 Jun 2026.
MOF menjelaskan, perjanjian pembinaan yang telah ditandatangani sebelum peluasan SST kini boleh menikmati pengecualian cukai perkhidmatan selama dua tahun.
“Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan ibadat seperti surau, masjid, kuil, gereja dan tokong yang bersifat keagamaan dan kerohanian diberikan pengecualian mulai 1 Julai 2025.
“Dengan itu, pembinaan bangunan ibadat tidak lagi tertakluk kepada cukai perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN










