PELAKSANAAN semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula pada 1 Julai 2025 menandakan komitmen jelas kerajaan untuk memastikan dasar fiskal negara benar-benar mendahulukan rakyat.
Tujuan pelaksanaan ini adalah untuk meminimumkan kesan ke atas barangan keperluan asas rakyat serta beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil.
Pendekatan ini juga menyeimbangkan keperluan hasil negara dengan tanggungjawab melindungi rakyat daripada beban kos sara hidup yang tinggi.
Dengan SST kini berkuat kuasa, barangan keperluan harian kekal bebas cukai jualan, manakala kadar lima peratus atau 10 peratus hanya dikenakan ke atas barangan bukan keperluan, pendekatan berhemah yang wajar dipuji.
Dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu, kemampuan kerajaan mendengar keluh kesah rakyat dan bertindak dengan dasar yang bersasar membuktikan keprihatinan pentadbiran di bawah pimpinan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keutamaan kerajaan adalah memastikan keperluan asas rakyat, khususnya barangan pemakanan harian yang berkualiti dan seimbang, terus terpelihara tanpa beban cukai yang membebankan.
Justeru, beberapa buah import popular seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma terus dikecualikan daripada cukai jualan.
Buah-buahan ini bukan sekadar pelengkap hidangan keluarga Malaysia, malah sering dijadikan buah tangan, hadiah kunjungan atau juadah perayaan selaras dengan budaya rakyat yang mementingkan adat dan amalan pemakanan sihat.
Pada masa sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menekankan bahawa semua agensi kerajaan persekutuan dan negeri digalakkan menyediakan buah-buahan tempatan dalam setiap hidangan rasmi.
Menurut beliau, buah-buahan tempatan seperti nanas, durian, nangka dan avocado mempunyai potensi besar, bukan sahaja untuk pasaran domestik tetapi juga untuk dieksport ke luar negara.
Inisiatif ini memanfaatkan petani tempatan serta menyokong usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara, selaras dengan pelaksanaan SST yang memberi tumpuan kepada keperluan asas rakyat.
Begitu juga dengan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kecantikan asas seperti rawatan kuku, rawatan wajah, gunting rambut dan dandanan rambut.
Perkhidmatan ini kini dianggap sebahagian daripada penjagaan kesihatan diri, kebersihan dan kesejahteraan mental, bukan lagi soal penampilan semata-mata.
Rutin asas ini dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat, dari golongan muda hingga warga emas.
Langkah pengecualian ini melengkapi senarai panjang barangan keperluan yang terus bebas cukai, antaranya beras, ayam, daging lembu, telur, sayur-sayuran serta ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada segar, sejuk beku atau sejuk dingin.
Ini membuktikan kerajaan benar-benar meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan utama.
Selain itu, perlindungan sosial turut diperkukuh melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan khusus kepada golongan B40 untuk pembelian barangan keperluan asas setiap bulan.
Manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula diagihkan secara suku tahunan kepada golongan B40 dan M40 sebagai bantuan tunai langsung bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
Bagi sektor perniagaan pula, khususnya perusahaan mikro, kecil dan dederhana (PMKS), pelaksanaan SST baharu ini memberi nafas lega dengan kenaikan had ambang pendaftaran cukai perkhidmatan daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun.
Ini bermakna, hanya perniagaan yang mencatat jualan melebihi ambang tersebut akan dikenakan cukai. Keputusan ini membolehkan pemain industri kecil terus berkembang tanpa beban cukai yang membantutkan pertumbuhan.
Bagaimanapun, keberkesanan langkah ini bergantung kepada pemantauan harga yang berterusan agar rakyat benar-benar merasai manfaatnya.
Dalam semangat Malaysia Madani, semua pihak baik kerajaan, pembekal dan pengguna harus berganding bahu memastikan setiap ringgit cukai dipulangkan semula dalam bentuk kesejahteraan bersama.
Pelaksanaan SST yang kini berkuat kuasa mencerminkan aspirasi sebuah dasar fiskal yang meletakkan rakyat sebagai paksi, mendengar suara rakyat dan menyesuaikan polisi mengikut realiti semasa.
Langkah ini menjadi asas untuk membina sebuah negara yang lebih progresif, sejahtera dan inklusif. – UTUSAN
PROFESOR Ts. Dr. Norazah Mohd. Suki ialah Profesor Pemasaran dan E-Dagang di Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Perhubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) UUM.










