Tangani kesan kenaikan SST terhadap mahasiswa

Tangani kesan kenaikan SST terhadap mahasiswa

ANTARA cabaran yang dihadapi mahasiswa termasuklah peningkatan kos makanan, perkhidmatan asas seperti dobi dan alat tulis, serta tekanan kewangan yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan motivasi belajar pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) mencadangkan pelaksanaan pelbagai inisiatif bersasar bagi menangani kesan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap kebajikan mahasiswa, khususnya dalam kalangan pelajar daripada golongan B40.

Menurut satu kertas cadangan yang disediakan oleh Biro Kebajikan Majlis Pengetua UUM, peningkatan SST memberi kesan langsung terhadap perbelanjaan harian pelajar yang bergantung kepada perkhidmatan komersial seperti makanan, percetakan, pengangkutan dan kemudahan asas lain. Kesan ini amat dirasai oleh kira-kira 60 hingga 65 peratus pelajar UUM yang terdiri daripada golongan B40.

Antara cabaran utama yang dihadapi termasuklah peningkatan kos makanan, perkhidmatan asas seperti dobi dan alat tulis, serta tekanan kewangan yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan motivasi belajar pelajar.

Langkah Jangka Pendek dan Panjang
Beberapa langkah jangka pendek yang dicadangkan termasuk:

  • Subsidi makanan asas di kafeteria kepada pelajar B40 melalui kad pelajar.
  • Baucar percetakan, dobi dan makanan kepada pelajar layak.
  • Pemerkasaan Food Bank UUM dengan sokongan NGO dan alumni.
  • Dialog vendor-pelajar bagi mencari solusi bersama.
  • Penubuhan pusat percetakan mesra pelajar dengan kuota percuma bagi tugasan dan tesis.
  • Mewujudkan Harga Rahmah untuk barangan asas mahasiswa kepada semua kategori pelajar.
  • Mempelbagaikan lagi pusat-pusat wakaf berkaitan keperluan pelajar (dobi, percetakan, alat tulis dan sebagainya).
  • Meningkatkan kadar nilai bantuan kewangan Tabung Kebajikan Pelajar yang sedia ada, tertakluk kepada kemampuan semasa universiti.

Sementara itu, antara langkah jangka panjang yang dirangka termasuk:

  • Penstrukturan semula kontrak vendor dengan insentif mesra pelajar.
  • Penambahan kapasiti inapan siswa bagi mengurangkan kebergantungan kepada sewaan luar kampus.
  • Penubuhan Tabung Kecemasan Mahasiswa.
  • Cadangan pewartaan kampus sebagai Zon Bebas Cukai bagi perkhidmatan asas.
  • Pemerkasaan koperasi mahasiswa digital dan keusahawanan sosial.
  • Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membangunkan perumahan lestari mahasiswa.
  • Kerjasama dengan pembekal perkhidmatan e-hailing tertentu, bagi mewujudkan perkhidmatan dalam UUM dengan caj servis yang mesra pelajar UUM (universiti memberi subsidi dengan menggunakan sebahagian daripada yuran kebajikan pelajar).

Penubuhan Jawatankuasa Khas Kebajikan Mahasiswa
Bagi menyelaras pelaksanaan cadangan ini, sebuah Jawatankuasa Khas Kebajikan Mahasiswa Pasca SST turut dicadangkan, diterajui oleh Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) dengan kerjasama Majlis Pengetua Inapan Siswa, vendor kampus dan wakil mahasiswa.
Jawatankuasa ini berperanan menilai kesan lapangan, merangka pelan tindakan, menjadi platform komunikasi antara pihak berkepentingan serta menyediakan laporan untuk pertimbangan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Universiti Progresif, Mahasiswa Sebagai Aset
UUM menegaskan bahawa mahasiswa bukan sekadar pelanggan vendor kampus, tetapi merupakan amanah universiti dan aset negara. Oleh itu, pendekatan berasaskan data, empati dan strategi mampan perlu digembleng untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan menyeluruh pelajar terus menjadi keutamaan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ROHANI ABDULLAH
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN