Gerakan ‘Himpunan Turun Anwar’ (HTA) pada Sabtu semalam, telah menerima reaksi awal dan kesan besar daripada Kerajaan Madani dengan ‘Pengumuman Penghargaan Buat Rakyat’ yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada pagi Rabu lalu.
Usaha dan langkah ini suatu pernyataan komitmen Kerajaan Madani terhadap kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan empat usaha utama, iaitu, ‘sara hidup untuk semua’; ‘cuti tambahan’; ‘kadar tol kekal’; dan ‘harga RON95 turun’. Usaha ini tidak memenuhi senarai panjang permintaan HTA.
Perhimpunan tunjuk perasaan semalam pula bermatlamat untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap pimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani mengenai beberapa perkara serentak.
Di antaranya berkait bantahan terhadap Urban Renewal Act, kenaikan harga LPG gas, penghapusan subsidi, pelaksanaan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST), kegagalan melaksanakan reformasi yang dijanjikan, rasuah politik, intimidasi terhadap pembangkang dan rakyat biasa yang menyatakan protes terbuka dan beberapa lain yang melibatkan soal kos sara hidup.
Pengumuman oleh Anwar ini boleh dilihat sebagai suatu preemptive strike, atau suatu tindakan strategik bercorak serangan pencegahan daripada pihak Kerajaan Madani sebelum berlakunya tunjuk perasaan HTA.
Sebenarnya, tindakan preemptive strike ini telah bermula dalam pelbagai platfom media sejak Sabtu 20 Julai lalu. Tindakan ini juga dilihat oleh beberapa pemerhati sebagai meraih kesetiaan dan sokongan menjelang Bulan Kebangsaan, iaitu bulan kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, dengan sogokan bercorak material.
Misalnya, pemberian RM100 pada yang mereka yang berada adalah bersifat simbolik. Untuk yang daif hanya mampu menghilangkan selaput kesempitan hidup mereka.
Dalam konteks politik semasa negara, ‘Pengumuman Penghargaan Buat Rakyat’ ini memaparkan pengertian jelas. Kerajaan Perpaduan sedang menghadapi cabaran dalaman, daripada parti-parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pengumuman ini daripada segi demografi pula memberi kestabilan politik sementara, seperti menelan panadol menahan sakit.
Dari sudut ekonomi politik pula ramai yang bertanya, termasuk penyokong Kerajaan Madani, apakah bantuan bernilai berbilion ringgit ini boleh disasarkan untuk keperluan lain masyarakat yang lebih mendesak dan luas impaknya, seperti menambah bilangan pegawai perubatan yang semakin mendesak, menambah lagi kemudahan kesihatan awam yang ongkos menanggungnya oleh kerajaan semakin meningkat.
Apakah pula implikasi menggunakan MyKad sebagai pelanta teknikal menyalurkan dana RM100 itu kerana risiko mendedahkan orang ramai kepada kemungkinan dalam mana scammer boleh mengambil kesempatan menceroboh data peribadi dan mencuri daripada orang awam. Apakah ini telah difikir dan dikaji semasak-masaknya?
Mengisytiharkan cuti awam pada 15 September dan tol tidak dinaikkan kesannya bersifat terlalu jangka pendek.
Cuti awam membawa kegembiraan dan meraih keinginan perpaduan. Tetapi ia bukan sesuatu perubahan berbentuk reformasi.
Ada yang menganggapnya gula-gula perpaduan dan tol adalah teh tarik yang mengiringnya. Ini mungkin juga menumpulkan lagi momentum ke arah reformasi yang dijanjikan.
Tindakan bersifat populis ini mungkin tidak seratus peratus negatif kalau boleh membantu menghilangkan ras kegusaran rakyat yang bersifat sosio-ekonomik, biar pun sekejap. Namun ia akan menyukarkan untuk melaksanakan perubahan bersifat struktural jangka panjang.
Tol hanya melibatkan wilayah Semenanjung. Perlu difikirkan langkah bantuan setara untuk rakyat di Sarawak dan Sabah. Keperluan asas pengangkutan yang merupakan subsidi harga tiket penerbangan murah istimewa one-off untuk rakyat Malaysia dari Semenanjung yang tidak pernah ke Sarawak dan Sabah dan golongan yang sebaliknya, mengenal dan bersemuka dengan wilayah dan mendampingi kehidupan di wilayah masing-masing.
Peta ke arah reformasi telah diuar-uarkan untuk sekian lamanya. Namun peta ini tercabar akibat perubahan politik, ekonomi dan sosial bersifat global dan lokal.
Sempadannya perlu diperhatikan rapi seperti impak tarif Amerika Syarikat terhadap kehidupan seharian rakyat, sistem pendidikan dengan perubahan teknologi dan pedagogi.
Malaysia mempunyai sebilangan pakar ekonomi, sosiologi dan perancangan awam.
Adalah bermanfaat kalau mereka boleh dirujuk mengenai kesesuaian senarai ‘penghargaan’ yang ditabur untuk manfaatnya ditimbangtarakan dan impaknya bercorak vertical, atau menegak, yang berasaskan kelas sosial (atasan, menengah, bawahan). Dari segi horizontal pula (mendatar, iaitu bandar luar bandar, etnik-etnik, Semenanjung, Sabah dan Sarawak) untuk meyakinkan rakyat mengenai keseriusan usaha ini.
Malaysia dan Kerajaan Madani memerlukan lebih daripada ‘Pengumuman Penghargaan Buat Rakyat’ yang bukan yang bersifat jangka pendek dan hanya mempunyai kesan selapis seperti manisnya hanya terasa di bibir.
PENULIS ialah Profesor Ulung, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










