Elavarasan ganti Devan latih Melaka FC

Elavarasan ganti Devan latih Melaka FC

E. ELAVARASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Teka-teki siapa jurulatih Melaka FC terjawab apabila bekas jurulatih Kelantan The Real Warriors (KRW), E. Elavarasan dipilih menggantikan tempat Datuk K. Devan yang meletakkan jawatan Disember lalu.

Turut menyertai Elavarasan termasuk penolong jurulatih KRW dari Bosnia Hezergovina, Muamer Salibasic serta dua pemain import dari Korea, Do Dong Hyun dan Park Kwang-Il.

Katanya, kehadiran dua pemain import dari Korea dijangka dapat memperkukuhkan barisan serangan dan benteng pertahanan Melaka FC.

Untuk rekod, Dong Hyun pernah menyarung jersi UiTM pada 2017 diikuti Kelantan (2018) dan Terengganu II (2018) manakala Kwang-il pula pernah bermain untuk Matsumoto Yamaga FC, Mito HollyHock dan Ehime FC

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Elavarasan berkata, dia menerima tawaran Melaka FC sebagai jurulatih bagi membantu pasukan itu keluar daripada kedudukan tangga terbawah Liga Super.

“Saya terima tawaran dari Melaka FC dan fokus saya adalah bagaimana untuk membaiki kelemahan yang ada dan memastikan pasukan ini tidak terus mengalami kekalahan.

“Tugas ini amat berat untuk saya perlu mengubah Melaka FC dan masih terlalu awal untuk menilai keupayaan sebenar barisan pemain,” ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hang Jebat, petang semalam.

Bekas ketua jurulatih skuad Malaysia B-23 berkata, dia akan berusaha untuk mengubah wajah baharu Melaka FC dengan sasaran dapat mengutip tiga mata penuh setiap perlawanan yang dilalui nanti.

Begitupun, bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu, berkata dia memerlukan masa untuk menganalisis posisi setiap pemain dan mencorakkan taktikal baharu.

“Tempoh tiga hari saya mengendali sesi latihan dan menyesuaikan diri dengan setiap pemain nampaknya ada tanda-tanda positif ke arah itu,” ujarnya.

Dia akan menjadikan perlawanan menentang Penang FC di tempat lawan Ahad ini sebagai titik mula untuk mengenal pasti perubahan yang akan dilakukan nanti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN