PETALING JAYA: Sabah FA muncul juara Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2025 meskipun tewas 1-0 kepada Selangor FC dalam perlawanan terakhir liga, kelmarin.
Kejuaraan itu melayakkan Sabah FA beraksi di Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL) bagi musim 2026/2027.
Ketua jurulatih, Bobby Gonzales berkata, pasukannya akan menjalani tempoh rehat selama sebulan sebelum memulakan latihan pada Februari ini sebagai persiapan menghadapi kejohanan berprestij di peringkat Asia.
Katanya, pihak pengurusan turut merancang untuk menambah sehingga empat pemain import bagi melengkapkan kuota maksimum enam pemain asing yang dibenarkan dalam saingan AFC bagi mengukuhkan pasukan.
“Kita mensasarkan untuk layak ke pusingan 12 terbaik seperti pencapaian sebelum ini dan berusaha mencapai prestasi yang lebih cemerlang,” katanya.
Dalam aksi kelmarin, penyerang sensasi Selangor, Nur Ainsyah Murad, muncul wira dengan jaringan tunggal yang memadamkan impian Sabah untuk menamatkan musim tanpa kalah.
Namun, kekalahan itu tidak menghalang Sabah menjulang trofi juara dengan mengumpul 37 mata, mengekalkan keunggulan tiga mata ke atas Selangor yang berada di tangga kedua.
Sabah membawa pulang hadiah RM80,000 manakala naib juara, Selangor RM50,000 manakala Gonzales turut menerima pengiktirafan sebagai jurulatih terbaik musim ini.
Penjaga gol kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan, dinobat Penjaga Gol Terbaik manakala penyerang Myanmar, Win Theingi Tun Penjaring Terbanyak sementara Nur Ainsyah Pemain Terbaik LWN 2025. – UTUSAN










