Sistem akar umbi perlu diteliti semula

Sistem akar umbi perlu diteliti semula

Kelemahan sistem pembangunan bakat di peringkat akar umbi menyebabkan skuad kebangsaan tidak mempunyai pilihan mencukupi sehingga terpaksa memilih melaksanakan program warisan dan naturalisasi. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan sistem pembangunan akar umbi melahirkan pemain tempatan yang bersedia untuk mengisi keperluan pasukan kebangsaan menjadi punca negara terpaksa memilih mendapatkan pemain warisan dan naturalisasi.

Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee berkata, kebergantungan sepenuhnya kepada pemain luar tidak berlaku apabila pembangunan tempatan tidak berjalan secara konsisten dan tersusun.

“NFDP adalah program pembangunan bola sepak negara, jadi kita harus kekal komited memastikan pemain tempatan menjadi teras pembangunan untuk jangka masa panjang, bukan jangka masa pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, NFDP memberi tumpuan kepada pembinaan laluan pembangunan yang jelas bermula dari peringkat sekolah sebelum pemain dibawa ke akademi, seterusnya ke peringkat negeri dan akhirnya ke kelab profesional.

Dalam usaha memastikan pemain muda benar-benar berkembang, Kim Swee menekankan kepentingan pemberian minit permainan yang mencukupi melalui liga peringkat umur yang kompetitif, dan bukannya sekadar menempatkan mereka sebagai pelatih.

“Pemain naturalisasi pula seharusnya dilihat sebagai pelengkap kepada kekuatan pasukan, bukannya pengganti kepada pemain tempatan yang sepatutnya menjadi tulang belakang skuad kebangsaan.

“Matlamat utama NFDP adalah untuk melahirkan pemain tempatan berkualiti yang mampu menjadi pilihan utama kelab profesional dan seterusnya pasukan kebangsaan tanpa bergantung kepada faktor luar.

Mengulas keberkesanan program, Kim Swee menjelaskan bahawa NFDP menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai kayu ukur bagi menilai keberkesanan perancangan yang dilaksanakan.

Antara indikator utama termasuk jumlah pemain NFDP yang berjaya menembusi kelab profesional, jumlah minit permainan yang dikumpulkan, kesinambungan pemain dari satu peringkat umur ke peringkat seterusnya serta sumbangan kepada pasukan kebangsaan.

“Pembangunan mengambil masa, tidak boleh mengharapkan hasil dalam sekelip mata. Penilaian hanya boleh dibuat selepas beberapa tahun program dilaksanakan,” jelasnya.

Selain pembangunan pemain, Kim Swee turut menegaskan kepentingan pelaburan berterusan dalam pendidikan dan pembangunan jurulatih bagi memastikan falsafah serta hala tuju bola sepak negara diterapkan secara konsisten di semua peringkat.

Beliau turut berkeyakinan bahawa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, skuad kebangsaan Malaysia mampu kembali didominasi oleh pemain tempatan hasil keberkesanan NFDP serta peranan akademi bola sepak tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×