PETALING JAYA: Apa status reformasi pembangunan bola sepak akar umbi Piagam SupaRimau?
Persoalan ini dilontarkan ramai pengendali akademi bola sepak tempatan ingin mengetahui status terkini program tersebut yang dikatakan ‘sepi’ sejak dilancarkan pada 2019 walaupun Liga SupaRimau masih dilaksanakan untuk peringkat umur lima hingga 17 tahun.
Jika mengikut perancangan asal, Piagam SupaRimau merupakan pelan komprehensif yang lengkap dengan sistem akreditasi, piawaian latihan dan penanda aras kualiti akademi bola sepak di negara ini, sekali gus menjadi sumber kepada kemajuan bola sepak negara.
Namun, persoalan yang menjadi bualan dalam kalangan warga akademi bola sepak, adakah sistem ini masih berfungsi sedangkan aktiviti di peringkat akar umbi semakin rancak di lapangan tetapi ke manakah akhirnya bakat-bakat muda ini meneruskan karier mereka?
Sementara itu, pengendali Akademi KL Rovers, Aznor Dzulkarnain Aziz berkata, Piagam SupaRimau kini seolah-olah tergendala dengan hala tuju sekarang yang tidak jelas.
Aznor berkata, wakil bertanggungjawab perlu lebih kerap turun ke padang bagi memahami realiti sebenar kelab komuniti yang bergelut dengan kekangan fasiliti, dana dan struktur pembangunan.
“Mereka turun padang, tetapi tiada jawapan dan tiada tindakan diambil. Piagam Suparimau yang telah dibina tidak berfungsi dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, jurulatih kelab BTP Tiger FC, Mahfuz Jaffar berkata, kebanyakan pemainnya berdepan kekangan kerana ketiadaan laluan yang jelas dan teratur untuk ke peringkat yang lebih tinggi selepas menamatkan program latihan walaupun ada yang berjaya mendapat tempat dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan sekolah sukan negeri. – UTUSAN










