KULIM: Penahanan seorang bekas wartawan sebuah portal berita untuk siasatan selepas dia mengemukakan soalan mengandungi unsur perkauman tidak mengancam kebebasan bersuara di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, polis hanya bertindak sebagai agensi penguat kuasa untuk memastikan undang-undang dipatuhi tanpa sedikit pun menekan kebebasan masyarakat.
Beliau berkata, perbandingan dibuat oleh individu itu antara situasi di Palestin dan layanan diterima komuniti Cina di Malaysia jelas tidak tepat seperti mana diakui sendiri oleh ahli politik United Kingdom, George Galloway dalam ceramah itu.
“Prinsipnya, kita akan sentiasa menghormati kebebasan bersuara, tetapi kebebasan itu mesti datang dengan tanggungjawab. Namun, bila ada aduan, polis perlu menimbangkan tindakan lanjut dan saya percaya wartawan itu akan terus bekerjasama dalam siasatan dan beri keterangan agar proses berjalan seperti biasa.
“Setelah siasatan lengkap dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), terpulang kepada mereka kerana keputusan lanjut adalah di bawah bidang kuasa AGC,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Inden Projek Mesra Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Peguam, P. Rajsurian yang mewakili bekas wartawan dikenali sebagai Rex Tan mengesahkan penahanan pada pukul 12.45 tengah malam tadi, selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, siasatan lanjut masih dilakukan terhadap penggunaan MyKad palsu berharga RM300 yang dirampas daripada pekerja asing ketika serbuan pelbagai agensi di ibu negara, Rabu lalu.
Kata beliau, pemalsuan dokumen adalah isu serius, lebih-lebih lagi ketika kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar ketika ini.
“Kita sedang siasat dari mana mereka dapat dokumen palsu ini dengan harga RM300 dan kita akan gunakan semua peruntukan undang-undang yang ada.
“Kemudian kita melihat keseluruhan ekosistem yang saling menyokong bermula daripada ejen, majikan dan proses pengambilan pekerja. Kita juga akan bincang perkara ini dalam Mesyuarat Pengurusan Pekerja Asing berjadual pada hujung Januari ini bersama Kementerian Sumber Manusia,” katanya. – UTUSAN










