Isu ternak babi: Permainan perkauman sempit DAP - PN

Isu ternak babi: Permainan perkauman sempit DAP – PN

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menegaskan isu penternakan babi yang menjadi polemik di Selangor hanyalah permainan perkauman sempit oleh DAP kerana tidak ada mana-mana pihak didiskriminasi jika penternakan haiwan tersebut dinoktahkan.

Menerusi satu kenyataan media bersama, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, penegasan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu tersebut yang sangat berhemah tidak seharusnya menjadi polemik sehingga ada campur tangan yang melarat ke peringkat Kerajaan Persekutuan.

Katanya, pendirian Tuanku sangat jelas dan sangat berhemah bersandarkan hujah pencemaran tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai serta menjejaskan kawasan tadahan air akibat aktiviti penternakan babi.

“Demi memelihara keharmonian rakyat Selangor yang rencam, Tuanku telah menzahirkan cadangan agar daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN telah berjuang menerusi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memastikan segala titah nasihat dan pandangan Tuanku dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Namun, amat mendukacitakan apabila Speaker DUN bertindak menghalau keluar tiga ADUN Perikatan Nasional dan menggantung mereka daripada menghadiri persidangan.

“Lebih malang lagi, Kerajaan Negeri membisu dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap ADUN Seri Kembangan yang celupar, ingkar dan mempertikai titah nasihat Tuanku Sultan Selangor,” katanya.

Pihaknya turut mempersoalkan kenapa ADUN PN dihukum sedangkan mereka hanya menggalas tanggungjawab untuk memainkan peranan semak dan imbang secara efektif seperti saranan Tuanku Sultan Selangor.

Bahkan, katanya, usul ADUN Taman Medan untuk merujuk ADUN Seri Kembangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor kerana cuba memanipulasi dan mempolemikkan titah Tuanku Sultan Selangor juga ditolak oleh Speaker tanpa alasan yang mengikut Perlembagaan dan Peraturan.

“Tambah mendukacitakan, Speaker Dewan Negeri Selangor, Menteri Besar selaku Ketua Majlis dalam Dewan Negeri Selangor serta Kerajaan Negeri seolah-olah melindungi dan hanya mendiamkan diri dengan gelagat derhaka terhadap titah Tuanku dengan merujuk kepada Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan sekali gus mencetuskan polemik tentang konsep Raja Berperlembagaan.

“Kami ingin menegaskan bahawa isu penternakan babi bukan lah isu perkauman sempit seperti yang dimainkan oleh parti DAP. Tiada agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina yang didiskriminasikan sekiranya aktiviti penternakan babi dinoktahkan di Selangor,” katanya.

Pada masa sama, PN Selangor turut menyatakan kekesalannya terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang didakwa cuba memberi gambaran bahawa penternakan babi di Selangor boleh diteruskan.

“Kritikan dan kecaman rakyat di media sosial yang tegas mempertahankan kewibawaan dan kebijaksanaan titah Tuanku Sultan telah menyebabkan semua laporan berhubung kenyataan tersebut diturunkan.

“Pihak Istana juga terpaksa mengeluarkan satu lagi kenyataan bertarikh 7 Mei (semalam) untuk menyampaikan penegasan titah Tuanku Sultan agar isu penternakan babi dihentikan sepenuhnya demi memastikan keharmonian dan keamanan rakyat Selangor terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN