PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan memperkukuh pendidikan hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat bagi membanteras perkauman, xenofobia dan prejudis dalam apa juga bentuk.
Katanya, naratif awam semakin dicemari permusuhan berasaskan kaum, retorik berunsur hasutan dan naratif yang memecah belah masyarakat sejak kebelakangan ini khususnya di media sosial dan dalam ruang lingkup politik.
Katanya, usaha boleh dilakukan menerusi inisiatif dialog antara budaya serta program kesedaran awam.
“Pembinaan sebuah masyarakat yang inklusif memerlukan usaha jangka panjang bagi menangani maklumat palsu, stereotaip dan naratif berasaskan kebencian sebelum ia berkembang menjadi diskriminasi atau keganasan.
“Perpaduan nasional harus dibina atas pengiktirafan bahawa setiap individu, tanpa mengira kaum, agama, etnik atau latar belakang, berhak mendapat maruah, perlindungan dan penghormatan yang sama rata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhakam berkata, wakil rakyat dan pemimpin politik memikul tanggungjawab besar untuk menunjukkan teladan yang baik dengan memupuk pembabitan berhemah serta menolak provokasi berasaskan kaum atau agama.
Jelasnya, perbezaan politik tidak seharusnya mengorbankan perpaduan nasional atau maruah insan.
“Institusi awam, parti politik, pertubuhan masyarakat sivil, pengamal media, pendidik dan pemimpin masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan dialog konstruktif, empati dan persefahaman antara komuniti.
“Perpaduan nasional tidak boleh dicapai hanya melalui slogan atau langkah penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan terhadap keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian,” katanya.
Suhakam berkata, kepelbagaian kaum dan agama yang dimiliki Malaysia sejak sekian lama menjadi asas kekuatan negara serta mencerminkan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesaksamaan dan melarang diskriminasi tanpa mengira agama, kaum, keturunan atau latar belakang, selain melindungi kebebasan bersuara dan maruah setiap insan. – UTUSAN










