Jangan dedah identiti suspek kes tikam, boleh didenda RM10,000

Jangan dedah identiti suspek kes tikam, boleh didenda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan gambar, video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting, semalam.

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, individu yang melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya, larangan itu meliputi penyiaran atau penyebaran nama, gambar, video, maklumat sekolah, maklumat keluarga, alamat atau sebarang butiran lain yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang menjadi mangsa mahupun yang didakwa melakukan sesuatu perbuatan tetap berhak mendapat perlindungan serta jaminan di bawah undang-undang Malaysia dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis, hak, maruah dan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak yang terlibat perlu dihormati sepanjang proses perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhakam berkata, penyebaran meluas gambar, video, maklumat peribadi serta dakwaan yang belum disahkan melalui media sosial dan aplikasi pemesejan sesuatu yang membimbangkan.

Katanya, tindakan sedemikian boleh memberi kesan psikologi berpanjangan kepada kanak-kanak, mendedahkan mereka kepada stigma masyarakat, mengganggu siasatan polis serta menjejaskan proses pemulihan dan integrasi semula mereka pada masa depan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan kesihatan, ketidakupayaan, kesihatan mental atau motif yang didakwa melibatkan kanak-kanak terbabit kerana tindakan itu tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN