Dakwa kes rogol suka sama suka di mahkamah

Dakwa kes rogol suka sama suka di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menghentikan serta-merta amalan merujuk kes rogol suka sama suka yang melibatkan remaja bawah umur kepada pihak berkuasa agama Islam.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, rogol statutori terhadap kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah serius yang harus disiasat serta didakwa mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Perlembagaan Per­sekutuan, undang-undang jena­yah dan tatacara jenayah terletak di bawah Senarai Persekutuan dan siasatan rogol sebagai suatu kesalahan jenayah adalah tanggungjawab teras dari segi Perlembagaan dan statutori PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara.

“Sebarang rujukan kes rogol statutori kepada pihak penguatkuasaan agama adalah tidak selaras dengan mandat ini dan berisiko menjejaskan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan PDRM bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi menangani isu rogol suka sama suka melibatkan remaja bawah umur.

Ekoran itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilapor berkata, langkah tersebut sudah berkuat kuasa dan pihaknya sudah merujuk lima remaja perempuan bawah umur terbabit kes rogol ‘suka sama suka’ untuk diambil tindakan oleh JAHEAIK.

Mengulas mengenai kenya­taan itu, Suhakam berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Ketua Polis Kelantan mengenai tindakan PDRM untuk merujuk kes rogol statutori yang membabitkan kanak-kanak kepada pihak berkuasa agama Islam.

Justeru, selaras dengan mandatnya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Suhakam bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta menasihati kerajaan mengenai penyela­rasan undang-undang, dasar dan amalan dengan jaminan perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Mengulas lanjut, Suhakam berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya kedudukan dan peranan undang-undang Islam serta institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN