PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menerima kunjungan Pengerusi Eksekutif Skop Production, Datuk Yusof Haslam, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Anwar memaklumkan antara lain yang dibincangkan adalah hal berkaitan perkembangan dan hala tuju industri perfileman tempatan.
“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai cabaran kreatif, termasuk isu cukai hiburan yang dibangkitkan, yang akan diteliti dan dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri.
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem Sheriff: Narko Integriti sebelum ini yang menyentuh isu rasuah dan integriti, serta menghargai sokongan penggiat seni terhadap usaha kerajaan menjunjung keterbukaan dan kebebasan bersuara,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau juga menjamin bahawa Kerajaan Madani akan terus memastikan kebebasan berkarya dipelihara.
“Ini supaya penggiat seni dapat menghasilkan karya lebih berani, berkualiti dan bermakna untuk masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN








