LPF tidak terbuka tapis Harum Malam - Utusan Malaysia

LPF tidak terbuka tapis Harum Malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS filem Dukun garapannya mendapat sambutan hangat ketika ditayangkan pada 2018, pengarah berkaliber, Dain Iskandar Said kembali dengan sentuhan seram terbaharu, Harum Malam.

Bakal menjengah pawagam bermula 9 Februari ini, Dain mempertaruhkan nama besar antaranya Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, selain bakat baru seperti Idan Aedan dan Arnie Shasha dalam garapan tersebut.

Harum Malam bukan filem seram tipikal apabila memaparkan jalan cerita lebih segar, namun sinonim dengan masyarakat tempatan.

Cuma, barangkali sedikit mencacatkan apabila 14 babak terpaksa dikaburkan, selain dialog ‘disenyapkan’ (mute) sehingga menjejaskan mood penonton yang cuba memahami keseluruhan jalan cerita filem ini.

Mengakui terkilan dan kecewa terhadap penapisan filem tersebut yang pada pandangannya tidak munasabah, Dain berkata, tindakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu mencacatkan dan mengganggu alur cerita Harum Malam.

“Saya bukan mahu berkeras, tetapi pada pandangan saya, LPF perlu merujuk konteks penceritaan filem ini sebelum tapisan sesuatu babak dibuat.

“Dialog yang diketengahkan berhubung kait dengan jalan cerita dan bukan diwujudkan semata-mata untuk elemen kejutan.

“Tambahan pula, dialog yang dilontarkan tidak terlalu keras atau menyentuh sensitiviti masyarakat, sebaliknya perlu untuk membina alur cerita,” katanya.

Mengulas isu sama, Datuk Yusof Haslam selaku pengedar filem tersebut menerusi Skop Production, meminta LPF mengkaji semula kriteria penapisan filem tempatan yang baginya, perlu disesuaikan dengan situasi semasa.

“Saya kesal apabila terlalu banyak babak dalam filem ini yang dikaburkan dan dialog pula ‘disenyapkan’. Tindakan seperti ini umpama memperbodohkan penonton.

“Kalau diikutkan, platform penstriman seperti Netflix lebih bebas memaparkan babak yang keterlaluan berserta dialog keras.

“Saya minta LPF bersikap lebih terbuka dalam isu ini. Kita hidup di era digital, justeru kriteria penapisan filem perlu dikaji semula dan disesuaikan dengan zaman sekarang yang lebih terbuka,” kritik beliau.

LAKONAN MENGAGUMKAN 

Antara sebab mengapa penonton perlu datang ke pawagam menonton filem ini adalah persembahan setiap pelakon, sama ada baru atau lama yang sangat meyakinkan dan perlu diberi pujian.

Sebagai pengarah, Dain mengakui perkara tersebut, malah menyifatkan keberkesanan persembahan barisan pelakon Harum Malam menyerlahkan lagi keistimewaan filem itu.

“Persembahan semua pelakon dalam filem ini sangat menakjubkan. Mereka bekerja keras dan mengikuti semua latihan yang disediakan untuk menghidupkan watak masing-masing.

“Kami perlukan jurulatih pergerakan, justeru kami menggunakan khidmat koreografer, Din Sabah untuk melatih gerak-geri pelakon, terutama bagi babak rasuk yang sinonim dengan masyarakat Nusantara.

“Walaupun agak kontemporari, ia sangat berbeza dengan apa yang kita lihat dalam filem seram Barat,” katanya.

Kata Dain, kebekesanan itu terhasil daripada kebolehan pelakon yang rata-rata berbakat besar.

“Kita mempunyai ramai pelakon hebat, tetapi pemilihan barisan pelakon Harum Malam dibuat berdasarkan kesesuaian karakter.

“Mereka faham tuntutan skrip dan karakter. Mereka membuatkan kerja saya lebih senang. Kejayaan mereka menghidupkan setiap watak adalah hasil kombinasi bakat dan tuntutan emosi yang saya mahukan,” katanya.

IDAN AEDAN ‘DITINDIH’

Mendapat kepercayaan sebagai teraju dalam naskhah seram itu, Idan Aedan, 18, beruntung kerana dapat menggali banyak ilmu sebagai pelakon baharu.

Katanya, sebagai pengarah, Dain sangat teliti dan mempunyai sudut pandang tersendiri terhadap sesuatu adegan.

“Susah berlakon dengan Dain kerana dia sangat teliti. Bagi saya, setiap pengarah ada cara dan mempunyai visi mereka tersendiri.

“Kadang-kadang kita tidak pernah terfikir apabila dia memberikan hujah tentang sesuatu adegan,” katanya yang memegang watak Iqbal.

Antara cabaran yang dihadapi pemilik nama lengkap, Muhammad Shahidan Abdullah adalah ketika menjayakan adegan ditumbuk bapa sendiri yang dilakonkan Bront Palarae sebagai Norman.

Pada masa sama, Idan yang pernah membintangi siri Oh My English dan SMK melahirkan keterujaan kerana dapat berlakon dengan Bront yang dianggapnya sebagai idola.

“Adegan ditumbuk itu adalah cabaran besar buat saya kerana pada masa sama, Iqbal juga sedang dirasuk.

“Ini adalah filem seram pertama dan saya sangat bersyukur mendapat maklum balas positif daripada pelakon lain, lebih-lebih lagi apabila mereka adalah idola saya, terutama Bront.

“Saya banyak merujuk kepada Bront selepas bekerjasama dalam filem ini dan seronok dapat bekerja dengannya.

“Saya berharap dapat lebih banyak peluang kerana tidak mahu berhenti belajar dan meneroka bidang lakonan,” katanya.

Harum Malam merupakan filem kedua Idan selepas Anak Rimau yang ditayangkan di pawagam, tahun lalu.

Bercerita mengenai pengalaman menjayakan naskhah seram, Idan memberitahu, dia pernah mengalami sleep paralysis atau ‘ditindih’ ketika tidur selepas pulang daripada penggambaran.

“Saya seperti berada dalam keadaan sedar, tetapi tidak boleh bergerak. Insiden itu saya alami selepas balik daripada penggambaran filem ini.

“Sebelum ini, kalau bekerja dalam tempoh lama atau kepenatan, saya akan alami benda sama,” katanya.

ARNIE SHASHA KETEPI 16 CALON LAIN

Siapa sangka daripada seorang yang pemalu dan pendiam, Arnie Shasha mengetepikan 16 calon lain semasa sesi uji bakat untuk memegang watak Nurul atau digelar Ah Boy.

Pelakon berusia 18 tahun itu berkata, dia sangat teruja apabila mendapat kepercayaan Dain bagi menjayakan adegan dirasuk makhluk halus.

“Saya masuk kelas lakonan untuk menjayakan watak ini sebab ia agak sukar, terutama bagi seseorang yang pemalu seperti saya.

“Pengalaman membawakan watak itu memang mencabar, ditambah pula dengan baju basah dan suasana di studio yang sejuk. Ketika penggambaran, saya memang tidak selesa dengan kesan lendiran, selain perlu menjayakan babak menghisap darah,” kongsinya.

Berkongsi pengalaman pertama berlakon, Arnie berkata, dia bertuah dapat bekerjasama dengan pengarah hebat yang sentiasa mahukan yang terbaik daripada mereka.

“Ini kali pertama saya berlakon di bawah Dain. Walaupun adegan itu sudah bagus, dia tetap mahu melakukannya semula untuk mendapatkan syot terbaik. Empat kali juga adegan rasuk itu perlu dirakam.

“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran ini tiada sebarang gangguan sebab aksi tersebut dijayakan di dalam studio,” katanya.

Mengulas adegan seram yang kelihatan real sehingga mendapat pujian pelakon senior lain, Arnie berkata, semuanya adalah hasil daripada menyertai kelas lakonan.

“Saya amat berterima kasih dengan jurulatih lakonan, Hazlin Nor Salam dan Din Sabah yang banyak memberikan tunjuk ajar untuk watak ini. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pengarah dan pelakon lain berpuas hati dengan lakonan saya,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN