Amaran PM untuk pulihkan maruah perkhidmatan awam - Mapim 

Amaran PM untuk pulihkan maruah perkhidmatan awam – Mapim 

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa adalah untuk memulihkan maruah perkhidmatan awam.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul hamid berkata,  ketegasan Perdana Menteri tersebut bukan bersifat ancaman politik, sebaliknya satu peringatan moral kepada pimpinan badan penguat kuasa.

Beliau berpandangan, ultimatum itu wajar disokong kerana ia mengembalikan prinsip bahawa jawatan adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan.

“Amanah merupakan teras utama perkhidmatan awam kerana penjawat awam memegang kuasa bagi pihak rakyat dan sebarang kegagalan melaksanakannya dengan jujur adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.

“Negara tidak boleh terus ditadbir oleh budaya selesa dan kebal kerana apabila kegagalan tidak lagi membawa akibat, sistem pentadbiran akan menjadi lumpuh dan kepercayaan rakyat juga runtuh,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri memberi tempoh seminggu kepada pemimpin tertinggi agensi penguat kuasa untuk melaksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat.

Mohd. Azmi berkata, teguran keras itu mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk membersihkan pentadbiran daripada kelemahan, rasuah dan sikap lepas tangan yang membelenggu institusi negara.

Katanya, rakyat kini menuntut kepimpinan yang tegas dan berprinsip, selain memberi isyarat jelas bahawa era berkompromi dengan ketidakcekapan mesti ditamatkan.

Beliau berkata, ketegasan tersebut perlu diiringi dengan penilaian prestasi yang telus dan adil serta perlindungan kepada penjawat awam yang berintegriti.

Mapim turut mencadangkan tindakan berperingkat terhadap ketidakcekapan dan salah laku dilaksanakan secara berhemah bagi membudayakan kerja berasaskan amanah dan khidmat kepada rakyat.

“Negara tidak akan diselamatkan oleh retorik semata-mata, sebaliknya melalui keberanian menegakkan amanah.

“Mapim menyokong setiap langkah membersihkan institusi negara demi keadilan dan kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN