Kenaikan gaji penjawat awam bukan kerana desakan – PM

Kenaikan gaji penjawat awam bukan kerana desakan – PM

PENJAWAT AWAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Kerajaan Madani untuk menaikkan gaji penjawat awam termasuk hakim bukan atas desakan kakitangan awam.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibuat kerana ada keperluan selepas kali terakhir kenaikan tahunan gaji penjawat awam berlaku sekurang-kurangnya 10 tahun lalu.

Beliau berkata, tanggungjawab penjawat awam juga sudah bertambah selain gaji yang diterima hanya sekadar memenuhi keperluan keluarga.

“Penjawat awam apabila dah naik gaji, sudah fikir kereta baharu, televisyen baharu, isteri baharu (seloroh). Penambahan itu (kenaikan gaji) menyebabkan kos tambahan keseluruhannya RM18 bilion.

“Ini bukan kerana tuntutan penjawat awam (sebaliknya) kerana kita lihat tanggungjawab bertambah dan (selama) 12 tahun diakui gaji semua ini hanya memenuhi hak sebagai ketua keluarga.

“Justeru saya mulakan dengan memberikan keadilan kepada rakan penjawat awam. Ini termasuk gaji hakim. Ada yang bertanya kenapa naik mendadak 30 peratus kerana 10 tahun sejak 2015 tidak ada kenaikan tahunan, tidak ada kajian semula,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun 2026 Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk memastikan pentadbiran yang cekap dan bersih.

Anwar berkata, ia juga perlu juga dipantau oleh semua Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan Ketua Unit.

Beliau berkata, selepas kerajaan menaikkan gaji penjawat awam, sudah tentu harapan dan jangkaan rakyat terhadap penjawat awam adalah kualiti dan perkhidmatan yang lebih cekap.

“Rakyat bertanya dan rakyat berhak bertanya (mengenai perkhidmatan yang diberikan). Harapan rakyat ialah kualiti, khidmat harus lebih cekap dan pantas.

“Nak tunggu nak jawab surat yang panjang, nak isi borang berpuluh-puluh untuk dapatkan suatu hal, nak patah balik dari satu jabatan ke satu jabatan, semua kerenah ini harus dibetulkan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, Kerajaan juga akan lebih serius dalam melaksanakan inisiatif Digital Negara tahun ini.

Berikutan itu, beliau mengarahkan untuk semua Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah memastikan semua urusan dijalankan secara dalam talian kecuali perkara yang terikat dengan peraturan undang-undang.

“Ini termasuk pada Jemaah Menteri. Harus mulakan jawapan-jawapan surat draf awal itu (menggunakan teknologi) AI kemudian kita berikan input peribadi untuk memperbaiki, untuk membetulkan. Ini akan menjimatkan masa dan juga meningkatkan kualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN