PELAKSANAAN Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) atau Akta Iltizam menandakan satu fasa baharu reformasi sektor awam Malaysia yang lebih sistemik dan berasaskan undang-undang.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,memperjelaskan rasional utama penggubalan akta ini adalah untuk memastikan reformasi perkhidmatan awam tidak lagi dilaksanakan secara terasing.
Kenyataan ini penting kerana selama ini banyak inisiatif penambahbaikan pentadbiran awam terhenti di peringkat dasar atau pekeliling tanpa penguatkuasaan yang kukuh.
Dengan adanya Akta Iltizam, agenda mengurangkan kerenah birokrasi, mempermudah kawal selia dan meningkatkan responsiviti perkhidmatan kerajaan kini diperkukuh melalui kerangka perundangan yang mengikat semua entiti kerajaan.
Dari sudut teori pentadbiran awam, Akta Iltizam selari dengan prinsip yang menekankan kecekapan, akauntabiliti, pengukuran prestasi serta penglibatan pemegang taruh.
Namun, keunikan akta ini terletak pada usaha menginstitusikan nilai-nilai tersebut dalam konteks tempatan, dengan mengambil kira struktur persekutuan, budaya organisasi perkhidmatan awam dan realiti sosioekonomi Malaysia.
Akta ini juga menyokong peralihan daripada pentadbiran berasaskan prosedur kepada pentadbiran berasaskan hasil.
Penekanan terhadap hasil bermakna kejayaan agensi kerajaan tidak lagi dinilai semata-mata berdasarkan pematuhan proses, tetapi sejauh mana perkhidmatan yang disampaikan benar-benar memberi impak kepada rakyat.
Salah satu intipati utama Akta Iltizam ialah komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban kawal selia sekurang-kurangnya 25 peratus dalam tempoh tiga tahun. Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan perubahan paradigma daripada kerajaan sebagai regulator kepada enabler.
Melalui Dasar Satu Masuk-Satu Keluar, setiap peraturan baharu perlu diimbangi dengan penambahbaikan atau penghapusan peraturan sedia ada.
Pendekatan ini dapat mengurangkan pertindihan proses, kelewatan membuat keputusan dan ruang budi bicara yang berlebihan, yang sering dikaitkan dengan risiko salah guna kuasa.
Di samping itu, keperluan pelaporan prestasi dan penarafan berkala melalui Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) menjadikan kecekapan bukan lagi konsep normatif, tetapi satu standard minimum yang boleh diukur dan dibandingkan.
Ini meletakkan rakyat dan komuniti perniagaan sebagai pemegang taruh penilai kepada prestasi sektor awam.
Dalam jangka panjang, mekanisme ini berpotensi memulihkan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai amanah, ihsan dan kebertanggungjawaban.
Akta Iltizam turut berfungsi sebagai pelengkap strategik kepada peraturan sedia ada seperti Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berbeza dengan pendekatan punitif semata-mata, Akta Iltizam menekankan penambahbaikan berterusan dan pembudayaan etika kerja yang telus.
Dengan memperkemas proses kerja dan memperjelas akauntabiliti institusi, risiko rasuah dapat dikurangkan secara tidak langsung melalui penghapusan peluang dan peningkatan ketelusan.
Pendekatan ini sejajar dengan literatur tadbir urus moden yang menegaskan bahawa pencegahan rasuah paling berkesan bukan hanya melalui hukuman, tetapi melalui reka bentuk sistem yang meminimumkan insentif dan peluang untuk salah laku.
Justeru, Akta Iltizam boleh dianggap sebagai kuasa perundangan yang membentuk tingkah laku organisasi melalui standard prestasi dan ketelusan.
Di samping itu juga, kekuatan Akta Iltizam ialah penjajarannya dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data. SSPA menyediakan platform pengurusan bakat dan penilaian prestasi yang lebih objektif, manakala Akta Iltizam membekalkan kerangka perundangan untuk perkhidmatan awam yang lebih fleksibel dan berorientasikan hasil.
Gabungan ini mewujudkan satu ekosistem baharu pengurusan sumber manusia sektor awam yang berasaskan data dan prestasi sebenar, bukan lagi semata-mata senioriti atau pertimbangan subjektif.
Dalam era pendigitalan, kecekapan tidak boleh dipisahkan daripada keupayaan institusi memanfaatkan data secara strategik. Oleh itu, Akta Iltizam bukan sekadar reformasi prosedur, tetapi juga pemangkin transformasi digital sektor awam yang lebih menyeluruh.
Penubuhan Pasukan Petugas Khas Iltizam (Alpha Iltizam) yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara, menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan akta ini dilaksanakan secara konsisten dan berimpak tinggi.
Mekanisme pemantauan dan pelaporan berkala penting bagi mengelakkan fenomena jurang antara dasar yang baik dengan pelaksanaan yang lemah. Tanpa pemantauan yang berterusan, akta yang progresif berisiko menjadi sekadar dokumen perundangan tanpa kesan nyata kepada rakyat.
Bagi memastikan Akta Iltizam mencapai matlamat reformasinya, beberapa bentuk intervensi strategik boleh dipertimbang dan dilaksanakan secara serentak.
Pertama, intervensi keupayaan institusi. Latihan berfokus kepada pengurusan proses, analisis impak peraturan dan penggunaan data perlu diwajibkan kepada pegawai pelaksana. Tanpa kapasiti teknikal yang mencukupi, sasaran pengurangan beban kawal selia sukar direalisasikan.
Kedua, intervensi budaya organisasi. Reformasi perundangan mesti disertai perubahan minda. Insentif prestasi di bawah SSPA perlu diselaraskan dengan pencapaian indikator Iltizam supaya pegawai melihat kecekapan sebagai nilai teras, bukan beban tambahan.
Ketiga, intervensi digital dan integrasi sistem. Pembangunan platform digital bersepadu bagi pelaporan I-PPA, maklum balas rakyat dan pemantauan prestasi perlu dipercepatkan bagi mengelakkan fragmentasi data antara agensi.
Keempat, intervensi keterlibatan pemegang taruh. Penglibatan sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan akademia dalam penilaian impak kawal selia boleh meningkatkan legitimasi dan ketelusan pelaksanaan akta.
Kelima, intervensi komunikasi awam. Naratif reformasi perlu disampaikan secara konsisten kepada rakyat agar mereka memahami hak dan jangkaan baharu terhadap perkhidmatan awam. Tekanan awam yang konstruktif akan menjadi pemangkin pematuhan institusi.
Secara keseluruhan, Akta Iltizam merupakan satu langkah berani dan strategik dalam landskap reformasi sektor awam Malaysia.
Dengan menggabungkan kerangka perundangan, pendekatan penambahbaikan berterusan dan integrasi transformasi digital, akta ini berpotensi meletakkan Malaysia sebagai model tadbir urus moden di peringkat global.
Namun, kejayaan sebenar Akta Iltizam bergantung kepada intervensi pelaksanaan yang holistik, komitmen kepimpinan dan kesediaan seluruh ekosistem perkhidmatan awam untuk berubah.
Jika dilaksanakan dengan berkesan, Akta Iltizam bukan sahaja membina semula kepercayaan rakyat, tetapi juga mentransformasikan sektor awam sebagai institusi yang progresif, cekap dan berprestasi tinggi. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










