PETALING JAYA: Pemilik syarikat merupakan antara enam individu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pemberian suapan kepada seorang penjawat awam.
Penahanan kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-am dilakukan secara berasingan menerusi Op Nature.
Operasi yang dijalankan sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang kira-kira pukul 10.30 pagi dan 12.30 tengah hari semalam
Menurut sumber, suapan itu disyaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premis masing-masing bagi kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2025.
“Kesemua suspek disyaki memberi wang rasuah antara RM2,000 hingga RM50,000 secara tunai,” katanya.
Susulan itu, tambah sumber, SPRM turut mengeledah kilang dan rumah semua suspek yang terletak di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd. Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Perintah reman selama empat hari sehingga 24 Januari ini terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Meera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pagi tadi. – UTUSAN









