ARAU: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah yakin barisan Exco kerajaan negeri yang dilantik mampu menggalas amanah yang diberikan biar pun terpaksa memegang banyak portfolio.
Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilantik itu masing-masing memegang empat hingga enam portfolio dalam melancarkan pentadbiran kerajaan negeri.
Abu Bakar berkata, setiap Exco yang dilantik juga telah bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan meneruskan gerak kerja memastikan negeri ini terus bergerak maju.
“Saya yakin mereka berempat (ADUN Bersatu) dapat menjalankan amanah diberikan ini, ada juga portfolio yang diberikan itu mempunyai kaitan dengan tugasan dan pengalaman mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis istiadat itu di Istana Arau di sini hari ini.
Terdahulu, empat ADUN dari Bersatu iaitu Izizam Ibrahim (Titi Tinggi; Marzita Mansor (Sena); Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afhtar Ishak (Tambun Tulang) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Abu Bakar berkata, setiap portfolio tersebut juga telah dipersembahkan dan mendapat perkenan daripada Tuanku Syed Sirajuddin.
“Saya harap empat Exco dilantik ini dapat bersama-sama berganding bahu bersama dalam meneruskan cabaran ini,” katanya.-UTUSAN










