PUTRAJAYA: Seramai 5.2 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menerima bantuan tunai bagi fasa kedua 2026 melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion yang disalurkan secara berperingkat bermula hari ini.
STR Fasa Dua memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.
Jumlah penerima kali ini meningkat berbanding lima juta pada fasa satu yang telah disalurkan pada 20 Januari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju membuat agihan awal bagi memudahkan penerima STR membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kita awalkan bayarannya, STR Fasa Dua sebelum ini sepatutnya dibayar April 2026 tetapi kita awalkan kerana kita hendak sambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Jadi kita awalkan kepada 10 Mac 2026 membabitkan RM1.3 bilion,” katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, semalam.
Bagi fasa dua, kerajaan menyediakan peruntukan RM1.3 bilion iaitu meningkat daripada RM1.1 bilion pada fasa satu Januari lalu.
Ini termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan dan akan menerima bayaran mulai 30 Mac 2026.
Selain itu, Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 15 ke bawah pula akan disalurkan bermula 13 Mac ini, selain pegawai lantikan kontrak.
Pesara kerajaan, veteran dan veteran tidak berpencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula akan mendapat bantuan sebanyak RM250.
Dalam pada itu, lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta takmir akan menerima BKK sebanyak RM500, selain imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
Perdana Menteri turut mengumumkan, seramai 125,000 penjawat awam Gred 1 berpeluang dinaikkan pangkat ke Gred 5 berkuat kuasa tahun depan.
Anwar berkata, penjawat awam yang berpeluang menerima manfaat itu termasuk Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) dan Pembantu Tadbir (Kewangan).
Beliau berkata, pelaksanaan kenaikan gred di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu telah dipersetujui menerusi mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Walaupun ada kenaikan gaji mengikut SSPA, namun, ada keperluan untuk jaga kategori yang terlalu rendah ini ditingkatkan sedikit.
“Jadi, kami bersetuju untuk menambah peluang laluan kerja bagi Gred 1 naik ke Gred 5 membabitkan 125,000 penjawat awam,” katanya.
Katanya, penjawat awam terlibat perlu menjalani kursus berkaitan selama dua minggu.
Anwar berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melaksanakan kursus berkenaan dalam tempoh enam bulan dan kenaikan pangkat akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2027.
“Saya telah arahkan JPA untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5, tertakluk kepada syarat merangkumi tempoh perkhidmatan, kelayakan dan kursus khas yang bersesuaian,” katanya.
Gaji permulaan bagi Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) Gred N1/N19 bermula sekitar RM1,500 hingga RM1,700.
Gaji pokok minimum ialah RM1,500 dengan tangga gaji maksimum mencapai RM4,680 atau RM5,071 bergantung kepada agensi dan struktur gaji yang diguna pakai. –UTUSAN










