LISBON: Pelari jarak jauh Uganda, Jacob Kiplimo kembali mengukir sejarah apabila memecahkan rekod dunia separuh maraton dengan catatan sensasi 57 minit 20 saat pada perlumbaan di Lisbon, kelmarin.
Atlet berusia 25 tahun itu memperbaharui rekod dunia dengan memperbaiki catatan 57:30 yang sebelum ini dipegang pelari Ethiopia, Yomif Kejelcha, yang dilakar di Valencia pada 2024.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Kiplimo merampas semula gelaran rekod dunia yang pernah menjadi miliknya pada 2021 apabila mencatat masa 57:31 di laluan sama di Lisbon.
Lebih manis, Kiplimo mengakui sudah mula menghidu peluang memecahkan rekod sebaik melepasi tanda 10 kilometer pertama.
“Saya sangat gembira dapat memecahkan rekod dunia. Selepas 10km pertama, saya mula yakin rekod itu mampu dicapai dan saya cuba mengekalkan kelajuan terutama dalam dua kilometer terakhir,” katanya.
Terdahulu, Kiplimo hampir mencipta rekod terbaik sepanjang zaman apabila mencatat masa 56:42 di Barcelona tahun lalu.
Bagaimanapun, prestasi itu tidak disahkan oleh World Athletics kerana melibatkan bantuan rentak yang menyalahi peraturan.
Dalam perlumbaan sama, pelari Kenya, Nicholas Kipkorir, menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 58:08, manakala rakan senegaranya, Gilbert Kiprotich, berada di tempat ketiga selepas mencatat 58:59. – AGENSI/UTUSAN










