KUALA LUMPUR: Konflik Asia Barat yang dicetuskan oleh pakatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran boleh mengancam ekonomi dunia selepas harga minyak mentah Brent mencatatkan nilai tertinggi AS$118 (RM468.42) setong, semalam.
Pengumuman pelantikan Mojtaba Khamenei yang juga anak kepada Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei sebagai ketua baharu republik Islam itu pastinya tidak disenangi Donald Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu yang diramal memburukkan lagi keadaan.
Peperangan mendorong kenaikan harga bahan api sebanyak 20 peratus dalam dagangan awal semalam, iaitu paras tertinggi sejak Julai 2022, lantas mencetuskan kebimbangan kekurangan bekalan global dan gangguan penghantaran berpanjangan yang turut berpotensi menjejaskan Malaysia.
Selain minyak mentah Brent naik melebihi AS$100 setong, West Texas Intermediate (WTI) turut menokok hingga AS$118.40 (RM470.04) tatkala pergolakan terus berlaku di Selat Hormuz yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pengeluaran minyak dunia.
Menurut laporan kumpulan analisis data, sekurangkurangnya 10 kapal di dalam atau berhampiran Selat Hormuz diserang, sejak Iran menutup laluan air strategik itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel.
Serangan-serangan sepanjang minggu selepas permulaan perang pada 28 Februari lalu hampir menghentikan sepenuhnya trafik melalui selat itu, yang menjadi laluan penting untuk minyak dan barangan lain.
Sementara itu, harga emas dilaporkan mengalami sedikit penyusutan sebanyak 1.58 peratus kepada AS$5,090.15 seauns atau RM651.12 segram.
Paras itu lebih rendah berbanding rekod tertinggi yang dicapai pada 28 Januari 2026 iaitu AS$5,417.21 seauns (RM21,401 seauns).
Ketika berita ini ditulis, Dow Jones Industrial Average susut 453.19 mata kepada 47,501.55 manakala indeks S&P 500 dan Nasdaq masing-masing jatuh 1.33 peratus dan 1.59 peratus kepada 6,740.02 dan 22,387.68.
Pasaran saham Asia turut terkesan apabila indeks Nekkei 225 turun 2,892.12 mata kepada 52,728.72 dan Indeks Straits Times (STI) jatuh 2.05 peratus kepada 4,749.57.
Pada pukul 5 petang semalam, Bursa Malaysia ditutup rendah 43.89 mata kepada 1,674.17 berbanding 1,718.06 pada sesi dagangan akhir Jumaat.
Pasaran saham yang dibuka rendah pada 1,699.13 jatuh sehingga 53.99 mata kepada 1,664.07 semasa sesi dagangan.
Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, terdapat risiko ekonomi global memasuki fasa kemelesetan, sekiranya konflik tersebut berlarutan yang memberi kesan kepada pasaran saham di seluruh dunia.
Katanya, pasaran saham biasanya menjadi antara petunjuk awal terhadap jangkaan kelembapan ekonomi.
“Apabila konflik memuncak dan harga minyak meningkat, pelabur cenderung mengurangkan pendedahan kepada aset berisiko dan beralih kepada aset yang dianggap lebih selamat.
“Bagaimanapun, kesan terhadap Malaysia dijangka lebih kecil berbanding negara yang sangat bergantung kepada import minyak. Daripada segi pasaran saham dan asas ekonomi, kedudukan Malaysia masih agak kukuh, justeru impaknya dijangka lebih sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kim Leng berkata, kesan tetap akan dirasakan oleh negara ini jika perang Iran berlanjutan selama beberapa bulan, menyebabkan kerajaan perlu bersedia dengan langkah dasar sokongan.
“Malaysia mempunyai beberapa instrumen makroekonomi yang boleh digunakan, termasuk dasar fiskal dan dasar monetari. Daripada sudut monetari, masih terdapat ruang untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi menyokong ekonomi sekiranya diperlukan.
“Selain itu, langkah jangka pendek boleh diperkenalkan untuk mengurangkan kesan kepada ekonomi, termasuk pinjaman kecil, geran serta bantuan bersasar kepada sektor yang terjejas,” ujarnya.
Katanya, jika konflik berlanjutan dan menjejaskan ekonomi global dengan lebih serius, berkemungkinan kuasa besar seperti China atau Russia akan memainkan peranan untuk meredakan keadaan.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, pada paras harga minyak mintah Brent sekitar AS$80 hingga AS$82 setong, dianggarkan kira-kira 20 juta tong minyak mentah melalui Selat Hormuz setiap hari, menjadikannya antara arteri bekalan tenaga terbesar di dunia.
“Dengan julat harga ini, nilai penghantaran minyak melalui selat tersebut mencecah kira-kira AS$1.6 bilion hingga AS$1.7 bilion (RM6.34 bilion hingga RM6.74 bilion) dalam aliran perdagangan harian.
“Ini jelas menunjukkan betapa besarnya skala aktiviti ekonomi yang bergantung sepenuhnya kepada kelancaran trafik maritim di koridor tersebut,” katanya.
Tambahnya, kenaikan harga minyak walaupun secara sederhana akibat risiko geopolitik, seperti premium risiko AS$5 hingga AS$10 setong boleh menyebabkan perbelanjaan tenaga global meningkat sehingga AS$1 bilion sehari.
“Kenaikan premium insurans risiko perang dan gangguan penghantaran akan meningkatkan kos tambang serta melambatkan pergerakan kapal tangki.
Memandangkan 20 peratus bekalan gas asli cecair (LNG) global turut melalui laluan ini, sebarang gangguan akan mengetatkan bekalan di pasaran Asia dan Eropah dengan pantas,” katanya.
Beliau berkata, bagi Malaysia, impak makroekonomi daripada perkembangan ini dilihat lebih cenderung melalui pergerakan harga tenaga global berbanding pendedahan perdagangan secara langsung dengan wilayah tersebut.
“Walaupun Malaysia merupakan pengeksport sederhana minyak mentah dan gas asli, ekonomi domestik tetap sensitif terhadap turun naik harga tenaga dunia,” katanya. – UTUSAN










