Kadar inflasi diunjur cecah 3 peratus

Kadar inflasi diunjur cecah 3 peratus

Kadar inflasi negara dijangka boleh meningkat sehingga tiga peratus sekiranya harga minyak dunia terus melonjak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar inflasi negara dijangka boleh meningkat sehingga tiga peratus sekiranya harga minyak dunia terus melonjak sehingga mencecah AS$150 (RM595) setong.

Pensyarah Kanan Ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, justeru kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan tekanan ekoran peningkatan tersebut terutama dalam aspek pemberian subsidi.

Katanya, harga petrol subsidi RON95 diunjurkan meningkat antara RM2.05 sehingga RM2.10 sen bergantung kepada peningkatan harga minyak dunia.

“Kerajaan cuba kekalkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 RM1.99 setakat ini. Tapi kalau harga minyak terus meningkat terlampau tinggi, kerajaan tidak boleh kekalkan harga subsidi RM1.99 sen.

“Maka, kerajaan mungkin terpaksa apungkan harga minyak atau menaikkan kepada RM2.05 ke RM2.10 sen seliter.

“Dan kalau kenaikan harga minyak berlaku, kadar inflasi juga boleh berlaku iaitu dengan mencecah tiga peratus. Sekarang kadar inflasi antara 1.8 ke 2.2 pe­ratus. Kadar 3 peratus ini ambang yang perlu berhati-hati,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Harga minyak mentah melonjak melepasi paras AS$100 setong pada awal pagi kelmarin selepas beberapa pengeluar utama di Asia Barat mengurangkan pengeluaran susulan penutupan berterusan Selat Hormuz akibat konflik Iran dan AS serta Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Malaysia mampu mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter sehingga dua bulan ekoran ketidaktentuan harga minyak global.

Dalam pada itu , Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, setiap peningkatan harga minyak mentah dunia melebihi paras AS$90 (RM357) hingga AS$95 (RM377) setong dijangka menambahkan beban subsidi kerajaan antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun.

Katanya, kenaikan harga minyak mentah global memberi tekanan kepada kewangan kerajaan kerana kerajaan perlu menanggung kos subsidi bahan api yang lebih tinggi.

Menurut beliau, peningkatan harga minyak dunia secara berterusan boleh menyebabkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi bahan api meningkat dengan ketara setiap tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN