‘Ramai yang berjaya tetapi tidak bahagia...’ - Utusan Malaysia

‘Ramai yang berjaya tetapi tidak bahagia…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA satu garis halus, tidak ketara namun cukup besar untuk menciptakan jurang antara artis wanita dan lelaki dalam pasaran industri hiburan. Tidak hanya di Malaysia, malah di Hollywood sekali pun, isu ini dibincangkan lebih dalam apabila selebriti wanita sering dinilai berdasarkan penampilan mereka dahulu, kemudian barulah kerja seninya. Baik itu bentuk tubuh, pakaian, rupa, kemudian barulah projek lakonan atau muziknya.

Ketika video muzik kumpulan Dolla, Question, diturunkan kerana dianggap terlalu seksi, tidak sesuai dengan aturan norma-norma masyarakat setempat, sepatutnya sebuah wacana dibuat secara sihat, yang sudah tentu bukan dengan niat mem­pertikai teguran Menteri Agama. Sekadar menilai semula apakah polisi ini diguna pakai secara adil termasuk kepada artis lelaki yang pernah menghasilkan video muzik lebih ghairah, atau ia hanya terpakai kepada artis wanita yang lebih mudah diukur keseksiannya tanpa melihat mesej-mesej dalam lagunya.

Penyanyi, Yunalis Mat Zara’ai yang pernah menyentuh kedua-dua pasaran muzik baik antarabangsa mahupun lokal tidak menafikan wujudkan standard ganda (double standard) dari awal kemunculannya sebagai artis sedekad lalu hingga hari ini. Ketika nama Dolla menjadi antara carian tertinggi di media sosial, beberapa peminat memetik Yuna, berharap Dolla menjejaki langkah penyanyi Crush itu mencari nafas di pasaran muzik berbeza.

Bagaimanapun, Yuna, 39, meyakinkan bahawa langkah dilalui Dolla yang kini dianggotai Sabronzo, Angle dan Tabby sungguh berbeza dengan dirinya. Ujar Yuna, adalah sebuah perkara yang normal untuk masyarakat memberi reaksi kepada setiap penampilan dan kerja seni mana-mana artis.

“Cuma artis perlu teruskan berkarya belajar dan mendewasa daripada segala yang terjadi. Pada masa sama, kita kena cuba faham apa kehendak peminat. Saya dulu pun ramai yang marah, ada benda yang saya tidak patut lakukan dan ubah.

“Sebagai artis, kita perlu fleksibel dan paling penting jangan patah semangat kerana mereka semua adalah wanita yang sangat berbakat, memiliki potensi besar dan cantik. Saya yang bertutup pun kena, saya fikir normal kerana orang akan bercakap,” katanya.

Yuna yang pernah disenarai pendek untuk pencalonan Anugerah Oscar bagi lagu asal terbaik pada 2016 berpendapat industri hiburan cenderung memihak lelaki mungkin kerana mereka lebih mendominasi.

“Bukan hanya di Malaysia, tetapi seluruh dunia di mana perempuan memang akan lebih dikritik kerana industri hiburan ini bersifat male-oriented. Sebab itu perlu untuk artis perempuan saling menyokong antara satu sama lain dan percaya kepada kraf yang dihasilkan.

“Dunia hari ini menyaksikan muzik-muzik seperti Dolla mula meraih tumpuan seperti yang kita lihat daripada kumpulan De Fam sehingga Demon Hunters. Saya percaya, Dolla pasti boleh ke hadapan,” jelasnya.

SUDAH LIHAT RAMAI TIDAK BAHAGIA DI HOLLYWOOD

Tidak pernah berhenti bermuzik, Yuna bakal tampil dengan EP terbaharu tahun hadapan diiringi dengan konsert khas, The Valour Hour. Mendekati hari konsert pada 7 Februari di Zepp Kuala Lumpur, Yuna melancarkan single If You Don’t Love Me yang bakal menempati salah satu daripada senarai lima lagu dalam EP tersebut selain Believer, Ready to Move, Sky’s the Limit dan Wasteland.

“Ketika awak menulis lirik ‘i see the past in my future’ apa yang Yuna maksudkan?” penulis cuba menebak isi hati Yuna.

“Tak sangka awak perasan, itu lirik kesukaan saya dalam lagu itu. Saya terfikir diri saya yang muda, seorang yang penuh dengan azam. Mungkin orang kata lagu ini mambawa nada perpisahan, boleh juga. Tapi saya menulisnya kerana bersedia mahu menghadapi pengalaman yang baru,” katanya.

Nampaknya Yuna tidak berselindung apabila berkongsi lagu tersebut ada kaitan dengan serpihan perasaan semasa dirinya memutuskan untuk kembali ke Malaysia selepas hampir sedekad di Los Angeles.

“Ada orang kata pada saya ‘Yuna balik Malaysia sebab sudah give up dengan Amerika’. Tapi saya tak rasa ini semua macam putus asa. Apa yang teruknya kembali ke Malaysia sebab dekat sini ramai pemuzik yang berbakat, muda.

“Cuma sekarang, niat dan cara bermuzik sudah berbeza. Saya tidak mahu lagi buat muzik sebab nak pecah masuk radio dan hit. Dulu mungkin begitu tapi sekarang hanya mahu buat yang terbaik.

“Kalau awak tengok fail rakaman saya sekarang, ada enam sahaja lapis muzik berbanding dulu sampai 20. Bagi saya itu pun sudah cukup istimewa, saya bangga dan gembira dengan hasilnya.

“Kejayaan bagi saya bukan kena di Hollywood, tapi sejauh mana kita rasa gembira. Di Hollywood, saya sudah jumpa ramai orang yang ‘berjaya’ tapi tak bahagia. Saya tidak mahu jadi sebegitu. Tidak mahu kerja macam nak gila tapi hilang diri sendiri.

“Semua benda Allah sudah cakap, perlu seimbang,” katanya yang masih bekerjasama dengan nama besar di Amerika Syarikat seperti Olmo Zucca, pemenang Anugerah Grammy 2024 untuk lagu Water.

Tambah Yuna, dia tidak pernah berasa ralat kembali ke Malaysia cuma sesekali dia merindukan perasaan melakukan siri jelajah dan bertemu peminat di Amerika Syarikat. Berkat itu juga, dia berkenalan rapat dengan komuniti Palestin pada 2015 di Detroit, Machigan.

“Itulah kali pertama tahu tentang Palestin, budaya hingga cuba makanan mereka. Mereka memberi saya inspirasi untuk bangga dan berpegang kepada identiti negara. Pengalaman bernyanyi dari bandar ke bandar banyak mengubah cara saya memandang hidup.

“Kadang bila jumpa pelajar Malaysia waktu saya buat tour, mereka akan belanja saya makan begitu juga sebaliknya. Sekarang saya tak dapat buat itu semua,” katanya.


Ditanya mengapa lagu-lagu Yuna akhir-akhir ini seperti melankoli, membawa perasaan syahdu yang dalam, penyanyi itu tidak menafikan pergelutan dan keadaan yang melanda dunia memberi impak kepada emosinya.

“Saya fikir perlu untuk seorang artis tulen menyerap segala yang terjadi di sekeliling dan terfikir untuk tulis mengenainya. Tidak logik tiba-tiba buat lagu gembira untuk ekspresi diri.

“Tapi bukanlah bermakna tak boleh langsung. Masih boleh juga tulis tentang cinta atau jatuh cinta. Perubahan hidup di Amerika Syarikat dan Malaysia yang saya alami, pun saya tulis. Cuma kadang saya sedih lihat apa yang sedang terjadi di dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN