MELAKA: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dinobatkan penerima Anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka malam tadi.
Anugerah tersebut sekali gus membuktikan status penyanyi tersohor negara itu sebagai legenda muzik tanah air dengan deretan anugerah termasuk di peringkat global dan mempunyai pengaruh besar dalam industri seni Malaysia dan Asia Tenggara.
Anugerah tersebut disampaikan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, Kota Laksamana di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Siti Nurhaliza, 46, adalah antara tiga tokoh yang dipilih kerajaan negeri sebagai menghargai jasa serta peranan dalam mempromosikan Melaka sepanjang tempoh TMM 2024 hingga kini.
Mengulas kejayaan tersebut, Siti Nurhaliza berkata, beliau melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka menerima anugerah tersebut.
Menurutnya, ia menyuntik semangatnya mengharungi tahun baharu 2026 untuk terus berkarya terutama dalam memartabatkan irama Melayu dan tradisional serta memperkasa seni, budaya dan pelancongan di Melaka.
“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penganugerahan ini dan saya menerimanya dengan rasa rendah diri.
“Inilah antara usaha saya selama ini dan ini bukan perkara baharu apa lagi mengharungi tahun baharu serta membantu Melaka yang meluncurkan TMM2.0,” ujarnya ketika ditemui pemberita.
Siti Nurhaliza berkata, beliau terlibat dalam banyak sambutan peringkat negeri sepanjang tahun 2025 dan atas usaha tersebut kerajaan negeri memberikannya anugerah yang tidak ternilai.
Justeru katanya, beliau akan terus berkolaborasi dengan kerajaan negeri bagi menyemarakkan lagi TMM2.0 yang dilancarkan.
“InsyaAllah saya akan datang lagi ke Melaka sempena TMM2.0 untuk membuat persembahan sekiranya dijemput lagi dan itu kena tengok jadual saya,” katanya.
Dua penerima lain ialah komposer yang juga pencipta lagu tema TMM, ‘Senandung Anak Melaka’ nyanyian Yasser Fikri, Mohd Fauzi Mohammad.
Beliau menerima Anugerah Tokoh Pemerkasaan Seni Tradisional Melaka manakala Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing pula dianugerahkan Ikon Diplomasi Budaya Antarabangsa Melaka. – UTUSAN










