ALOR SETAR: Wanita yang dipercayai bertindak agresif terhadap anggota polis serta mencetuskan kekecohan awam di Mergong, kelmarin direman dua hari untuk membantu siasatan.
Perintah reman sehingga esok terhadap suspek berusia 34 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Alor Setar, Nur Syifa Mohd. Hamzah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam semasa menjalankan tugas.
“Siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 298 kanun sama kerana mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan penganut agama serta Seksyen 509 kanun itu kerana mengaibkan kehormatan seseorang melalui perkataan atau isyarat tidak senonoh,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai melakukan kekacauan serta bertindak agresif serta memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis.
Dalam kejadian pukul 1.11 petang itu, suspek dikatakan menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan itu sebelum anggota polis dikerah ke lokasi untuk mengawal keadaan.
Setiba di lokasi, anggota polis mendapati suspek sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam dan polis cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek supaya memberikan kerjasama.
Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah ke arah salah seorang anggota polis.
Suspek turut membaling kad pengenalannya ke arah anggota polis berkenaan, selain meludah ke arah anggota tersebut dan beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian. – UTUSAN










