Penghadang konkrit insiden jatuh gaung hanya boleh dialih dengan kren

Penghadang konkrit insiden jatuh gaung hanya boleh dialih dengan kren

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Insiden meragut nyawa pasangan bakal pengantin di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah), Kuala Berang, Terengganu pada 5 November lalu berpunca daripada perbuatan mengalihkan penghadang konkrit serta papan tanda amaran di lokasi insiden.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian Kerja Raya telah mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) kerja pembaikan jalan runtuh, termasuk meletakkan penghadang konkrit yang hanya boleh dialihkan menggunakan kren, selain papan tanda penutupan laluan di semua persimpangan masuk.

“Sebenarnya kami letak penghadang konkrit mengikut SOP keselamatan yang tinggi. Ia bukan jenis yang boleh dialihkan dengan mudah. Kalau hendak alih perlu guna kren.

“Kami juga pasang pemberitahuan di setiap persimpangan bahawa kawasan ini ditutup. Semua tanda dan halangan yang diperlukan memang telah dipasang bagi memastikan pengguna sedar terdapat halangan di hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Menurut Alexander, siasatan terperinci mengenai tindakan menceroboh kawasan berisiko itu diserahkan sepenuhnya kepada polis.

“Kalau benar ada pihak mengalihkan penghadang, itu memang kelakuan yang tidak bertanggungjawab. Kita pun tidak tahu siapa yang buat. 

“Kejadian ini meragut nyawa dan sehingga kini kani belum menerima laporan siapa yang mengalihkan halangan tersebut,” katanya yang memberitahu setiap kejadian membabitkan jalan rosak runtuhan cerun atau insiden keselamatan akan disiasat serta-merta oleh pasukan teknikal KKR.

Pada 5 November lalu, Hassan Shazali, 52, yang merupakan seorang guru, dan tunangnya, Suzaimah Che Azis, 34, maut selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 61 meter di kawasan laluan terputus itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab sebelum ini memaklumkan, tiada kesan brek ditemui di lokasi kejadian dan dipercayai kenderaan itu terus dipandu ke laluan yang telah terputus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN