PARLIMEN: 3,227 guru baharu ditempatkan di Sarawak

PARLIMEN: 3,227 guru baharu ditempatkan di Sarawak

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 3,227 guru baharu direkodkan di Sarawak dengan 1,078 guru atau 33.4 peratus ditempatkan di sekolah pedalaman negeri itu setakat November 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah berkenaan, 2,149 guru atau 66.6 peratus lagi ditempatkan di kawasan lain di Sarawak mengikut keperluan opsyen mata pelajaran serta kekosongan jawatan.

“Setakat November 2025, pengisian guru di seluruh Sarawak mencapai 98.42 peratus, manakala di pedalaman Sarawak ialah 97 peratus,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai kadar penempatan guru baharu di negeri itu.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, kadar pengisian guru bersifat dinamik dan bergantung kepada persaraan guru serta penempatan baharu dari semasa ke semasa.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan penempatan guru baharu ini bagi menyokong persediaan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk sesi persekolahan 2026.

“Komitmen KPM adalah memastikan sekolah di pedalaman mendapat guru yang mencukupi bagi mengekalkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, selaras dengan usaha kerajaan memajukan pendidikan di kawasan luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN