PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu segera memulihkan status ‘calon simpanan’ bagi 730 Pegawai Farmasi kontrak serta mempercepatkan proses pelantikan tetap bagi memastikan pegawai berkenaan tidak menghadapi tamat kontrak pada 2026.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, isu melibatkan pegawai dari pengambilan Julai 2024 yang dibangkitkan oleh seorang senator di Dewan Negara baru-baru ini.
Katanya, pemulihan status ‘calon simpanan’ serta pelantikan tetap adalah langkah penting bagi menjaga motivasi dan kesejahteraan pegawai berkenaan.
“Adalah sama penting bagi KKM untuk memberikan komunikasi yang jelas dan telus mengenai langkah konkrit yang diambil termasuk sama ada kontrak mereka akan dilanjutkan sementara menunggu penyerapan tetap.
“Penjelasan sedemikian penting bagi mengekalkan kestabilan tenaga kerja kesihatan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Thirunavukarasu berkata, sumber manusia dalam sektor kesihatan adalah antara aset paling bernilai negara.
Katanya, memastikan layanan yang adil, proses yang telus dan konsistensi dalam tadbir urus sumber manusia adalah penting untuk mengekalkan profesional berpengalaman serta kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
“Kehilangan pegawai akibat kegagalan pentadbiran yang boleh dielakkan akan memberi impak besar terhadap penyampaian perkhidmatan dan akhirnya menjejaskan penjagaan pesakit,” katanya.
Menurut Dr. Thirunavukarasu, pihaknya mendesak KKM bertindak segera, tegas dan telus bagi menyelesaikan isu ini serta memastikan semua profesional kesihatan merasa dihargai atas dedikasi dan sumbangan mereka kepada sistem kesihatan awam.
“KKM perlu mempercepatkan proses pelantikan tetap agar pegawai-pegawai ini tidak menghadapi tamat kontrak pada 2026 dan dapat terus menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPH), Amrahi Buang berkata, isu membabitkan 730 pegawai farmasi kerajaan berada dalam ketidaktentuan kerana janji untuk menyerap mereka ke jawatan tetap masih belum ditunaikan memberi impak signifikan kepada pegawai farmasi yang terlibat.
Katanya, MPH bersetuju dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh senator di Dewan Negara supaya perkara tersebut perlu segera diselesaikan bagi menjamin kebajikan pegawai farmasi.
“Saya berharap kerajaan dapat memberikan reaksi positif terhadap cadangan serta hujah yang diberikan oleh seorang senator.
“Ini kerana, pegawai-pegawai farmasi memainkan peranan penting terutama ketika pandemik Covid-19. Sumbangan mereka bukan sahaja memastikan kelancaran perkhidmatan farmasi, malah mencerminkan komitmen tinggi terhadap negara,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan, seramai 730 pegawai farmasi kerajaan berada dalam ketidaktentuan kerana janji untuk menyerap mereka ke jawatan tetap masih belum ditunaikan.
Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran yang membangkitkan perkara itu dilaporkan berkata, mereka adalah antara 1,330 pegawai ‘sementara’ yang sepatutnya ditawarkan jawatan tetap pada Oktober, namun hanya 600 yang telah diserap. – UTUSAN










