‘Kalau boleh saya mahu asingkan diri daripada media sosial’ - Utusan Malaysia

‘Kalau boleh saya mahu asingkan diri daripada media sosial’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HENDAK ditelan mati emak, diluah mati bapak, sebagai selebriti ada banyak yang perlu dipikirkan sebelum memuat naik sebarang hantaran. Kadang perkongsian dan nasihat yang dimulakan dengan niat baik tetap berisiko dimanipulasi oleh sesetengah pihak. Pendek kata, hujung-hujung artis juga yang disalahkan.

Pelakon, Datuk Remy Ishak, tidak menafikan sudah beberapa kali hatinya terdetik mahu menurunkan komen selepas melihat perkara yang menggoncang rasa manusiawinya di media sosial. Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dikuburkan kerana mengetahui pendapatnya boleh disalah anggap dan dijadikan peluru oleh sesetengah pihak yang sengaja mencetuskan kontroversi.

“Sebenarnya saya sudah lama mahu jauhkan diri daripada media sosial kerana sedikit sebanyak mengganggu kesejahteraan mental. Kadang kita tengok orang kongsi perkata yang saya rasa tidak betul dan ingin kata sesuatu.

“Tapi perkara itu saya simpan sebab bukan semua orang akan bersetuju dengan kita. Namun, bila kita pendam ia akan jadi toksik.

“Kemudian bila kita buka media sosial, nampak lebih banyak lagi perkara yang kita tak setuju seperti cerai atau buli, tapi tak boleh juga mahu bersuara.

“Cuma bila nampak saya kata sesuatu di threads mungkin itu hari yang saya sudah tidak dapat nak tahan, terlayan juga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, jelas pelakon Pulang itu lagi, hasrat itu tidak mudah untuk dilaksanakan apalagi adakalanya dia terikat dengan komitmen membantu promosi drama lakonannya.

“Saya memang akan libatkan diri dengan kerja-kerja promosi filem, drama atau apa sahaja produk yang ada. Itulah masa-masanya yang saya akan guna media sosial. Kalau tak, memang saya keluar sekejap daripada media sosial,” jelasnya.

Menjadi lelaki yang tersepit

Dalam pada itu, mengulas mengenai pengalamannya melakonkan karakter Hadith menerusi drama yang tular, Sumpah Ibuku, Remy tidak menafikan karakter seorang lelaki yang tersepit iaitu harus memilih sama ada mahu memenuhi kehendak ibu atau mempertahankan isteri memang terjadi di dunia nyata.

Oleh itu, Remy mengakui teruja terlibat dalam projek drama arahan Riza Baharuddin ini kerana jalan cerita yang mengetengahkan kesedaran terhadap kesejahteraan mental lelaki.

“Sebagai seorang lelaki, memang tersepit. Drama ini mewakili dilema sebenar yang dihadapi lelaki sebab seolah-olah orang tidak dengar masalah kita. Macam mana kita nak kawal keadaan lebih-lebih lagi dalam cerita ini, isteri saya lakonan Izara Aishah pun ada perangainya yang saya kena jaga.

“Ibu pula sikapnya memang bermasalah. Jadi dalam cerita ini, lelaki perlu jadi sangat kuat,” katanya.

Pertama kali berlakon dengan penerima Anugerah Antagonis Terbaik, Anugerah Drama Sangat 2021, Liza Abdullah. dia bersyukur kerana bergandingan rakan pelakon yang boleh memberikan energi serupa bagi menjayakan karakter masing-masing.

“Kita tahulah Kak Liza memang akan buat karakter jahat lebih ‘menjadi-jadi’. Itu juga permintaan pengarah. Gaya lakonan dalam Sumpah Ibuku pula berbeza dengan filem, filem lebih minimal.

“Tapi untuk drama memang ada cara khas, perlu beri lebih emosi. Alhamdulillah, kombinasi dengan kak Liza menjadi untuk sama-sama sampaikan energi ini,” katanya.

Sumpah Ibuku yang disiarkan menerusi stesen TV3 mengisahkan Hadith (Remy Ishak) yang berkahwin dengan pilihan hatinya, Husna (Izara Aishah). Hubungan mereka tidak direstui ibunya, Che Yam yang berhasrat meruntuhkan perkahwinan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN