Kecurian jejas bekalan air negara

Kecurian jejas bekalan air negara

FADILLAH YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu memperkukuh pengurusan sumber air secara mampan dan bersepadu bagi memastikan bekalan bersih kekal terjamin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 menjadi peringatan bahawa air bukan sekadar sumber, sebaliknya ia adalah nadi kehidupan, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, walaupun Malaysia dikurniakan sumber air yang banyak, cabaran pengurusan dan kelestariannya semakin kompleks dan memerlukan pendekatan lebih holistik.

“Tema HAS peringkat antarabangsa tahun ini iaitu ‘Air dan Kesaksamaan Gender’ menekankan keadilan serta peranan semua pihak tanpa mengira jantina dalam menjaga sumber air.

“Manakala tema nasional ‘Air Milik Semua’ mengingatkan bahawa setiap individu berhak menikmati akses kepada air yang bersih, selamat dan mencukupi,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Air Sedunia, hari ini.

Fadillah berkata, isu kehilangan air tidak berhasil (NRW) masih menjadi cabaran utama di beberapa negeri.

Katanya, faktor seperti kebocoran paip, kecurian air dan infrastruktur usang memberi kesan besar terhadap kecekapan sistem bekalan air negara.

“Usaha menaik taraf sistem, memperkukuh pemantauan serta mengurangkan kadar NRW sedang giat dilaksanakan bagi memastikan setiap titisan air sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ancaman pencemaran sumber air tidak boleh dipandang ringan, susulan aktiviti tidak bertanggungjawab, pembuangan sisa dan perubahan guna tanah yang memberi tekanan kepada sungai serta empangan.

“Melindungi sumber air adalah tanggungjawab bersama melibatkan kerajaan, industri dan masyarakat.

“Namun, usaha ini memerlukan sokongan rakyat. Amalan penjimatan air perlu dijadikan budaya harian termasuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru generasi muda agar memainkan peranan sebagai pewaris khazanah air negara dengan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara sumber tersebut.

“Kesedaran hari ini adalah jaminan kelestarian hari esok.

“Sempena Hari Air Sedunia ini, marilah kita bersama-sama memperbaharui komitmen untuk menjaga dan menggunakan air secara bertanggungjawab.

“Air untuk semua, tanggungjawab kita bersama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN