Samsuri cadang Majlis Perundingan Ekonomi Negara

Samsuri cadang Majlis Perundingan Ekonomi Negara

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu menubuhkan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara sebagai langkah non-partisan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis tersebut penting sebagai platform penyelarasan dasar secara menyeluruh dan inklusif bagi menangani impak kenaikan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan serta tekanan terhadap ekonomi global.

“Kesan geopolitik ketika ini sudah mula dirasai melalui peningkatan kos logistik yang seterusnya menekan kos pengeluaran dan operasi merentasi pelbagai sektor ekonomi.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, negara berkemungkinan berdepan kenaikan harga barang asas dan makanan, peningkatan kos pengangkutan dan utiliti, selain tekanan terhadap sektor pekerjaan termasuk risiko pengurangan tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat kenaikan kos bahan mentah.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia memerlukan pendekatan non-partisan yang mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan politik kepartian.

Jelasnya, penubuhan majlis tersebut perlu melibatkan penyertaan menyeluruh termasuk kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri serta wakil masyarakat sivil.

“Pendekatan ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian.

“Sebaliknya, kita mesti menghimpunkan kekuatan seluruh negara merentasi perbezaan politik dan latar belakang untuk menghadapi cabaran ini secara bersama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN