KAJANG: Kira- kira 50 peserta terdiri daripada pengamal media tempatan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai Program Menembak SPRM Bersama Media 2025 yang diadakan di sini, hari ini.
Menerusi program bermula 8.00 pagi tadi, peserta media juga diberi peluang mengendalikan pistol dalam dua kategori individu dan berkumpulan bagi ketepatan dan jatuhan piring.
Wartawan Eksekutif (Kanan) Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman bersama rakan sepasukannya Nurayuni Johari dari MalaysiaGazette, serta dua wakil SPRM iaitu Norsharil Saharom dan Mohd. Adib Adami muncul juara kategori jatuhan piring.
Dalam pada itu, Ketua Biro Putrajaya Utusan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim tempat ketujuh bagi kategori individu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, program tahunan itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 bertujuan mengeratkan hubungan strategik antara suruhanjaya dan rakan media.
“Program ini bukan sekadar aktiviti riadah tetapi manifestasi hubungan erat antara SPRM dan rakan media yang menjadi jambatan penting dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat.
“Tahun ini, kita turut berbesar hati menerima penyertaan daripada pempengaruh media sosial serta pengurusan tertinggi Institut Integriti Malaysia (IPRM) yang menunjukkan betapa luasnya jaringan komunikasi yang bersama-sama berganding bahu dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah di negara kita,” katanya ketika merasmikan program menembak SPRM bersama media 2025 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia, di sini.
Beliau berkata, melalui aktiviti seperti ini, nilai seperti semangat berpasukan, ketahanan fizikal dan mental dapat dipupuk selari dengan profesionalisme penguatkuasaan.
“Perjuangan menentang rasuah tidak dapat digalas oleh satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan kolaborasi menyeluruh antara penguat kuasa, media dan masyarakat,” jelasnya.
Katanya, program ini diilhamkan dengan tiga objektif utama.
“Pertama, untuk mengeratkan silaturahim antara SPRM dan media, dalam usaha bersama memperkukuh usaha pembanterasan rasuah nasional.
“Kedua, sebagai platform strategik untuk mengukuhkan kerjasama jangka panjang kerana perjuangan menentang rasuah tidak dapat digalas oleh satu agensi semata-mata, tetapi ia memerlukan kolaborasi menyeluruh antara penguat kuasa, media dan masyarakat.
“Ketiga, sebagai tanda penghargaan SPRM kepada peranan penting media, rakan strategik yang membantu menyampaikan mesej integriti, ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan rakan media yang menjayakan program berkenaan, sambil berharap ia kekal menjadi tradisi tahunan yang mengukuhkan hubungan strategik antara SPRM dan media. – UTUSAN










