PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei hari ini susulan fitnah.
Shamsul Iskandar berkata, laporan polis dibuat pada pukul 5.05 petang tadi di Balai Polis Sandakan, Sabah.
Ia selepas wujud dakwaan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan untuk merakam secara rahsia ahli politik Sabah.
Menurutnya, tuduhan tersebut satu bentuk konspirasi jahat untuk mencemarkan imej Perdana Menteri dan cubaan terancang menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik ketika musim kempen di Sabah.
“Ini jelas satu fitnah keji. Saya tidak akan membenarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan lama saya untuk menjatuhkan kerajaan atau menjejaskan nama baik Perdana Menteri,” katanya hantaran di Facebooknya hari ini
Shamsul turut menyatakan keyakinannya bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan segera memulakan siasatan terhadap dakwaan itu.
Beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya diperlukan sebagai sebahagian daripada proses siasatan. – UTUSAN










