Petugas perubatan hospital universiti awam belum terima kadar on-call baharu?

Petugas perubatan hospital universiti awam belum terima kadar on-call baharu?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petugas perubatan di beberapa hospital universiti awam didakwa masih menerima bayaran mengikut kadar lama Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) walaupun kadar baharu telah berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.

Hospital universiti terlibat termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ahli Dewan Negara, Dr. R.A. Lingeshwaran berkata, perkara itu menimbulkan percanggahan serius memandangkan pengumuman rasmi dan arahan pekeliling Kementerian Kesihatan (KKM) dengan jelas menyatakan kadar ETAP baharu turut terpakai kepada semua universiti awam.

Katanya, lebih membimbangkan, beliau turut dimaklumkan terdapat amalan tidak adil di beberapa jabatan termasuk di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) apabila dua Pegawai Perubatan diwajibkan bertugas on-call secara aktif, namun hanya satu tuntutan ETAP yang dibenarkan..

“Ini bermakna dua individu yang sama-sama berkorban masa dan tenaga terpaksa berkongsi bayaran untuk satu shift.

“Amalan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan dan tidak menghargai komitmen mereka, malah mencerminkan kelemahan pengurusan yang serius di peringkat jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lingeshwaran menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan tegas termasuk memastikan semua hospital universiti awam tanpa pengecualian mematuhi Pekeliling ETAP yang baharu, selain membayar tunggakan secara retrospektif mulai 1 Oktober 2025.

Beliau turut menggesa supaya amalan berkongsi tuntutan dihapuskan serta siasatan dijalankan terhadap mana-mana hospital universiti termasuk HUSM yang didakwa memaksa Pegawai Perubatan berkongsi tuntutan ETAP.

“Setiap individu yang menjalankan tugas atas panggilan perlu menerima tuntutan penuh berdasarkan kelayakan dan jenis panggilan.

“KPT juga perlu melakukan audit segera ke atas Bahagian Sumber Manusia dan Kewangan di hospital universiti yang terlibat bagi mengenal pasti punca kelewatan dan kegagalan pembayaran ini,” katanya.

Tambah beliau, kesejahteraan pegawai dan pakar perubatan adalah nadi sistem kesihatan negara, malah sebarang kegagalan menjaga kebajikan mereka hanya akan memburukkan lagi isu kekurangan kakitangan serta kepakaran kritikal.

“Saya berdiri teguh menyokong semua petugas kesihatan dan mendesak kerajaan agar bertindak segera,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, petugas kesihatan berkelayakan kini boleh menuntut Elaun ETAP dengan kadar baharu bermula Oktober susulan keputusan kerajaan menaikkan kadar elaun tersebut buat pertama kali selepas 14 tahun tidak disemak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kenaikan kadar ETAP atau elaun on-call kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian itu meningkat antara 33 hingga 43 peratus berdasarkan kelayakan digariskan.

Katanya, kadar baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Oktober lalu dengan anggaran tambahan perbelanjaan tahunan sebanyak RM120 juta sebagai bukti keprihatinan kerajaan Madani terhadap kebajikan petugas kesihatan.

“Perkara ini telah disusuli dengan surat edaran rasmi Kementerian Kesihatan bertarikh 4 November 2025 yang membolehkan para petugas kesihatan yang layak untuk menuntut elaun dengan kadar baharu ini bagi tuntutan Oktober 2025.

“Kenaikan ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan dan beban kerja tinggi pegawai perubatan serta pergigian, khususnya yang bertugas secara on-call di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN