Mansuh subsidi gula, salur RM80 juta naikkan elaun doktor

Mansuh subsidi gula, salur RM80 juta naikkan elaun doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang memansuhkan subsidi gula bernilai RM500 juta setahun dan menyalurkan sebahagian daripadanya bagi menaikkan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) pegawai perubatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd. Khalib berkata, sekurang-kurangnya RM80 juta perlu diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 bagi melaksanakan kenaikan elaun yang sudah lama tertangguh.

Katanya, kadar ETAP sedia ada iaitu RM220 untuk pegawai perubatan dan RM250 bagi pakar setiap syif hujung minggu bersamaan kurang RM10 sejam dan dianggap tidak adil selain menjadi faktor penghijrahan doktor berkemahiran dari sektor awam.

“Janji untuk menaikkan elaun ini masih belum ditunaikan. Sedangkan menurut anggaran KKM, kenaikan RM55 hingga RM65 bagi setiap syif hanya memerlukan sekitar RM75 juta hingga RM80 juta.

“Ia jumlah yang sememangnya mampu ditanggung kerajaan. Saya juga menyokong komitmen Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad yang ingin memastikan kenaikan kadar ETAP dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas subsidi gula, Azrul berkata, Malaysia merupakan antara sebahagian kecil negara di dunia yang masih menanggung subsidi tersebut sekali gus menjadikan harga gula tiruan murah, menggalakkan pengambilan tidak sihat dan bercanggah dengan usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Kerajaan membelanjakan sekitar RM500 juta setahun atau RM42 juta sebulan sebagai subsidi kepada pengilang gula iaitu bersamaan RM1.00 sekilogram untuk gula mentah dan bertapis. 

“Pemansuhan atau rasionalisasi subsidi ini akan menjimatkan perbelanjaan besar tanpa membebankan bajet keseluruhan,” katanya.

Menurut beliau, setiap ringgit yang dialihkan daripada subsidi gula kepada sokongan tenaga barisan hadapan kesihatan akan mengukuhkan sistem perkhidmatan awam serta membantu mengekalkan doktor berkemahiran.

“Malaysia kini berdepan kadar diabetes, penyakit jantung dan obesiti kanak-kanak yang semakin meningkat. Tidak masuk akal untuk terus memberi subsidi gula sambil membayar doktor dengan kadar rendah. 

“Mengalihkan subsidi ini adalah situasi menang-menang iaitu rakyat lebih sihat, manakala tenaga kerja kesihatan lebih bermotivasi,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN