PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan kenaikan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) sebanyak 40 peratus berkuat kuasa 1 Oktober 2025 bagi menghargai dedikasi pegawai perubatan, pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian yang sentiasa berkhidmat di barisan hadapan sistem kesihatan negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar elaun itu tidak pernah disemak sejak tahun 2011, dan pelarasan tersebut membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta setahun.
“Sebagai contoh, kadar ETAP bagi doktor pakar yang diarah bertugas atas panggilan aktif pada hari cuti akan meningkat kepada RM350 berbanding RM250 sebelum ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebajikan petugas kesihatan awam serta memastikan mereka terus bermotivasi dalam memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat.
“Kenaikan ETAP ini merupakan satu bentuk penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan negara.
“Ia juga sebagai sebahagian daripada pengiktirafan kerajaan terhadap cabaran dan beban tugas tinggi yang dihadapi pegawai perubatan,” katanya. – UTUSAN










