PARLIMEN: Elaun on-call baharu boleh dituntut bermula Oktober

PARLIMEN: Elaun on-call baharu boleh dituntut bermula Oktober

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petugas kesihatan berkelayakan kini boleh menuntut Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) dengan kadar baharu bermula Oktober susulan keputusan kerajaan menaikkan kadar elaun tersebut buat pertama kali selepas 14 tahun tidak disemak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan kadar ETAP atau elaun on-call kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian itu meningkat antara 33 hingga 43 peratus berdasarkan kelayakan digariskan.

Katanya, kadar baharu itu berkuatkuasa bermula 1 Oktober tahun ini dengan anggaran tambahan perbelanjaan tahunan sebanyak RM120 juta sebagai bukti keprihatinan kerajaan Madani terhadap kebajikan petugas kesihatan.

“Perkara ini telah disusuli dengan surat edaran rasmi Kementerian Kesihatan bertarikh 4 November 2025 yang membolehkan para petugas kesihatan yang layak untuk menuntut elaun dengan kadar baharu ini bagi tuntutan Oktober 2025.

“Kenaikan ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan dan beban kerja tinggi pegawai perubatan serta pergigian, khususnya yang bertugas secara on-call di seluruh negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta penjelasan berhubung sama ada jumlah doktor bertugas secara on-call adalah mencukupi serta perancangan KKM untuk menaikkan elaun doktor yang bertugas on-call selaras dengan bebanan tugas semakin meningkat.

Mengulas keperluan petugas perubatan bertugas secara on-call, Dzulkefly berkata, KKM sentiasa melaksanakan pemantauan mendalam dan penilaian berkala bagi memastikan jumlah pegawai yang bertugas mencukupi, di samping menjaga keseimbangan kebajikan warga KKM.

Katanya, jumlah pegawai perubatan yang bertugas secara on-call ditentukan berdasarkan keperluan perkhidmatan, beban kerja dan tahap kompleksiti kes di fasiliti kesihatan.

“Faktor-faktor ini juga menentukan jenis panggilan on-call sama ada secara aktif atau pasif bergantung kepada situasi di lapangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN