KUALA LUMPUR: Petugas kesihatan berkelayakan kini boleh menuntut Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) dengan kadar baharu bermula Oktober susulan keputusan kerajaan menaikkan kadar elaun tersebut buat pertama kali selepas 14 tahun tidak disemak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan kadar ETAP atau elaun on-call kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian itu meningkat antara 33 hingga 43 peratus berdasarkan kelayakan digariskan.
Katanya, kadar baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Oktober lalu dengan anggaran tambahan perbelanjaan tahunan sebanyak RM120 juta sebagai bukti keprihatinan kerajaan Madani terhadap kebajikan petugas kesihatan.
“Perkara ini telah disusuli dengan surat edaran rasmi Kementerian Kesihatan bertarikh 4 November 2025 yang membolehkan para petugas kesihatan yang layak untuk menuntut elaun dengan kadar baharu ini bagi tuntutan Oktober 2025.
“Kenaikan ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan dan beban kerja tinggi pegawai perubatan serta pergigian, khususnya yang bertugas secara on-call di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta penjelasan sama ada jumlah doktor bertugas secara on-call mencukupi serta perancangan KKM untuk menaikkan elaun doktor yang bertugas on-call selaras dengan bebanan tugas semakin meningkat.
Mengulas keperluan petugas perubatan bertugas secara on-call, Dzulkefly berkata, KKM sentiasa melaksanakan pemantauan mendalam dan penilaian berkala bagi memastikan jumlah pegawai yang bertugas mencukupi, di samping menjaga keseimbangan kebajikan warga KKM.
Katanya, jumlah pegawai perubatan yang bertugas secara on-call ditentukan berdasarkan keperluan perkhidmatan, beban kerja dan tahap kompleksiti kes di fasiliti kesihatan.
“Faktor-faktor ini juga menentukan jenis panggilan on-call sama ada secara aktif atau pasif bergantung kepada situasi di lapangan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan secara komprehensif isu kekurangan doktor difasiliti kesihatan awam, antara lain disebabkan masalah elaun pegawai kesihatan yang rendah.
Keadaan itu menyebabkan penghijrahan doktor-doktor termasuk pakar-pakar ke hospital swasta.
Ia sekali gus menjejaskan perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan apabila tempoh menunggu yang lama untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, kekurangan petugas kesihatan masih berlaku di negara ini disebabkan kekangan pengambilan baharu susulan jumlah graduan dalam bidang kritikal tidak mencukupi.
Katanya, KKM berdepan kesukaran melaksanakan pengambilan baharu berikutan kekurangan graduan dalam bidang tertentu seperti kejururawatan dan perubatan yang amat diperlukan di seluruh negara.
“Kekurangan petugas kesihatan juga berlaku berikutan kekangan dihadapi KKM dalam melaksanakan urusan pengambilan disebabkan kekurangan keluaran graduan dalam bidang tertentu berdasarkan keperluan yang diunjurkan.
“Sebagai contoh, keluaran pelatih dari Institut Latihan KKM (ILKKM) serta graduan kejururawatan di peringkat diploma dari institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara masih belum mencukupi bagi menampung permintaan sebenar,” katanya menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik).
Menurut Dzulkefly, setakat 31 Ogos 2025, seramai 19,324 petugas kesihatan berkhidmat di negeri Kedah meliputi 565 pakar perubatan, 2,538 pegawai perubatan, 4,883 jururawat dan 11,388 petugas dalam skim perkhidmatan lain. – UTUSAN










