Akmal kecewa kenaikan elaun ‘on call’ doktor dibatalkan

Akmal kecewa kenaikan elaun ‘on call’ doktor dibatalkan

MUHAMMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan membatalkan kenaikan elaun tugas atas panggilan (ETAP) doktor yang sebelum ini diumumkan dalam Belanjawan 2025 disifatkan sebagai tindakan tidak wajar dan mengecewakan petugas kesihatan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, menteri tidak seharusnya menikmati pelbagai elaun lumayan sedangkan doktor serta petugas kesihatan yang berkorban masa dan tenaga untuk merawat pesakit masih dibayar elaun yang dianggap tidak setimpal.

“Ini bukan semata-mata soal duit, tetapi soal pengorbanan. Mereka bekerja siang malam, meninggalkan keluarga demi menjaga pesakit. Sepatutnya usaha mereka dihargai.

“Kalau elaun menteri boleh mencecah ribuan ringgit, mengapa kita biarkan doktor kekal dengan elaun yang jauh daripada setimpal dengan kerja keras mereka?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi jaminan kenaikan elaun on-call untuk doktor awam akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun lalu selepas jawatankuasa khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Abu Bakar Sulaiman selesai membuat rundingan.

Bagaimanapun, pada Julai lalu portal kesihatan CodeBlue melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan rancangan itu selepas Dzulkefly mengaitkannya dengan kegagalan pelaksanaan sistem syif Waktu Bekerja Berlainan (WBB) berikutan kekurangan pegawai perubatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 dilapor mengumumkan kenaikan elaun on-call antara RM55 hingga RM65 untuk doktor dan doktor gigi perkhidmatan awam.

Muhammad Akmal berkata, keputusan itu memberi kesan buruk kerana ia boleh mendorong lebih ramai doktor berhijrah ke luar negara sekali gus melemahkan sistem kesihatan negara.

“Ketika pengumuman kenaikan elaun dibuat, petugas kesihatan berasa dihargai walaupun jumlahnya tidak seberapa berbanding bayaran locum di hospital swasta. Namun apabila berlaku pusingan U, mereka berasa tertipu dan amat kecewa,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Dr. Dzulkefly dan menteri-menteri lain turun padang bekerja bersama doktor di hospital sekurang-kurangnya selama seminggu supaya benar-benar memahami cabaran serta tekanan yang dihadapi petugas kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN