UMNO kembalikan kepercayaan rakyat

UMNO kembalikan kepercayaan rakyat

AB. Rauf Yusoh mengangkat tangan Muhamad Akmal Saleh selepas pengumuman perletakan jawatan sebagai Exco Negeri Melaka ketika Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu kembalikan kepercayaan rak­yat apabila mengalami defisit keyakinan pengundi setiap kali pilihan raya umum (PRU) meskipun berada dalam kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, perkara itu mengambil kira UMNO yang masih dilanda pe­nyakit sindrom penafian dengan terus mengatakan perkara positif sedangkan ia berada di kedudukan lebih buruk.

Muhammad Akmal mengajukan soalan kepada perwakilan apakah status UMNO yang mempunyai wakil dalam kerajaan dan prestasi mereka dalam Kabinet juga baik sebagai mencukupi untuk mengubah realiti di peringkat akar umbi.

“Kita rasa kita masih okay, walhal di peringkat akar umbi, realitinya berbeza. Rakyat keliru. Penyokong setia bertanya ke mana arah perjuangan. Pemuda mendengar kegelisahan itu setiap hari.

“Benar, UMNO mempunyai Menteri cemerlang dalam Kabinet, tapi kita mungkin terlupa satu soalan yang paling jujur dan paling perlu ditanya hari ini, adakah kepercayaan rakyat terhadap UMNO benar-benar semakin meningkat sepanjang kita berada di pundak kuasa ini?

“Kita sedang berdepan krisis kepercayaan, ini hakikat yang tidak boleh lagi disorok. Dan jika kita benar-benar mahu mengembalikan kepercayaan itu, maka kita mesti berani bercakap dalam bahasa rakyat, menyuarakan suara rakyat, walau sepahit mana pun kebenaran itu untuk ditelan,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.

Muhammad Akmal berkata, rakyat memilih untuk tidak lagi memberi kepercayaan kepada UMNO jika krisis kepercayaan ini terus dibiarkan.

Mengambil contoh ikhtibar beberapa parti politik luar negara yang tumbang selepas terlalu lama berkuasa, bangkit sebagai pembangkang berdisiplin dan kembali memerintah dengan mandat rakyat.

“Kita juga harus belajar daripada sejarah Parti Revolusioner Institusional (PRI) di Mexico. Hampir tujuh dekad berkuasa, tetapi akhirnya mati kerana kehilangan jiwa perjuangan,” katanya.

Katanya, UMNO sukar kembali diterima dengan jika terus menafikan apa yang rakyat dan akar umbi merasakan di samping membuka ruang terbuka kepada ahli-ahli untuk menentukan masa depan mereka.

“Pemuda sedar ia jalan yang sukar, tetapi Pemuda yakin inilah jalan yang tepat. Jalan yang akan membuka pintu yang lebih besar buat masa depan ahli-ahli kita.

“Saya mahu melihat UMNO punya masa depan dalam politik. Disediakan laluan yang jelas dalam politik. Saya mahu kita masuk ke medan perang pilihan raya nanti dengan kesiapsiagaan yang ampuh, seterusnya memberi kemenangan yang lebih besar buat parti,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, Pemuda UMNO perlu menangani isu perubahan demografi keahlian, khususnya apabila peratusan ahli menghampiri usia 40 tahun meningkat sejak tahun lalu.

Memasuki tahun ketiga penggal 2023–2026, peralihan corak keahlian semakin ketara dan perlu ditangani secara strategik oleh setiap peringkat cawangan.

“Sejak tahun lepas saya sering mengingatkan bahawa amat perlu kita cakna terhadap peratusan ahli yang kohort umurnya menghampiri 40 tahun.

“Dalam tahun ketiga Pemuda sesi 2023–2026, kita sudah mula nampak peralihan keahlian semakin ketara. Setiap cawangan perlu memandang serius hal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN