PETALING JAYA: Kadar pengangguran siswazah menurun kepada 3.2 peratus tahun lalu atau 165,900 orang daripada 3.4 peratus (167,300) pada 2023, sejajar pertumbuhan pasaran buruh yang kukuh, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada tahun lalu, negara merekodkan peningkatan bilangan siswazah berjumlah 5.98 juta orang atau 22.3 peratus daripada penduduk umur bekerja 15 tahun dan ke atas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5.14 juta orang merupakan siswazah yang aktif dalam tenaga buruh, seterusnya mencatatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) yang tinggi pada 86.0 peratus.
“Pemegang ijazah mewakili 54.9 peratus (3.28 juta orang), manakala pemegang diploma menyumbang 45.1 peratus (2.70 juta orang).
“Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan siswazah ijazah dalam tenaga buruh meningkat sebanyak 5.4 peratus, manakala pemegang diploma menunjukkan peningkatan 3.2 peratus, didorong oleh peluang pekerjaan yang lebih baik dan pengangguran yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Uzir berkata, dari segi sektor ekonomi, sebahagian besar siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, yang menyumbang 77.6 peratus daripada jumlah siswazah bekerja, merekodkan seramai 3.86 juta orang.
“Ini diikuti oleh sektor pembuatan (13.4 peratus) dengan 667,000 orang dan sektor pembinaan (6.3 peratus) dengan 313,000 orang.
“Selebihnya sektor pertanian (1.7 peratus) dan sektor perlombongan dan pengkuarian (1.0 peratus) masing-masing mencatatkan 83,900 orang dan 49,200 orang,” katanya.
Beliau berkata, pada 2024, siswazah bekerja meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 4.98 juta orang berbanding 4.76 juta orang pada 2023 seiring dengan pertumbuhan pasaran buruh Malaysia yang lebih baik.
Jelasnya, kira-kira dua pertiga atau 67.8 peratus siswazah bekerja dalam kategori pekerjaan mahir iaitu seramai 3.38 juta orang, dengan sebahagian besarnya bekerja sebagai profesional (57.2 peratus), diikuti oleh juruteknik dan profesional bersekutu (24.4 peratus) dan pengurus (18.4 peratus).
“Siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula menyumbang 31.0 peratus atau 1.54 juta orang daripada jumlah siswazah bekerja, manakala mereka yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah hanya mewakili 1.2 peratus (57, 500 orang).
“Siswazah bekerja dalam kategori mahir dan separuh mahir masing-masing merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0 peratus dan 3.6 peratus berbanding 2023, manakala kategori berkemahiran rendah mencatatkan peningkatan sebanyak 11.0 peratus,” katanya.
Katanya, pada tahun dikaji, jumlah siswazah bekerja di bawah kelayakan meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada 1.6 juta orang, menjadikan kadar guna tenaga tidak penuh siswazah berkaitan kemahiran turun kepada 32.2 peratus.
Beliau berkata, pencapaian itu meletakkan Malaysia di hadapan negara seperti Korea Selatan dengan 36.8 peratus, Indonesia (42.2 peratus) dan Filipina (56.7 peratus).
“Walaupun Malaysia masih berada di belakang negara maju seperti United Kingdom (28.5 peratus), Amerika Syarikat (27.3 peratus) dan Australia (27.5 peratus) dan trend penurunan ini menunjukkan potensi untuk penambahbaikan di masa akan datang,” katanya.
MOhd. Uzir turut memaklumkan bahawa kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) bagi perempuan berada pada paras lebih tinggi iaitu 83.4 peratus berbanding kadar penyertaan tenaga buruh perempuan di peringkat nasional pada 56.5 peratus. – UTUSAN










