PETALING JAYA: Isu pembangunan, autonomi negeri serta kestabilan kepimpinan dijangka menjadi fokus utama kempen parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, fenomena ahli politik bertukar parti menjelang pilihan raya sudah menjadi lumrah dalam landskap politik negeri itu.
“Sekiranya pemimpin berkenaan mempunyai pengaruh akar umbi yang kuat, ia mampu memberi kesan kepada parti yang ditinggalkan. Namun, bagi yang biasa-biasa sahaja, impaknya tidak begitu besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, PRN kali ini juga dijangka menyaksikan kebangkitan semula sentimen parti tempatan, menjadikan laluan lebih mencabar buat parti-parti nasional.
“Pengundi pastinya ingin tahu apa yang mereka akan dapat, termasuk habuan semasa kempen. Walaupun ada pihak menyifatkan pendekatan itu sebagai merosakkan masa depan politik negara.
“Bagi sesetengah pengundi, ia lebih baik daripada tidak mendapat apa-apa kerana mereka sedar bukan mudah untuk berjumpa wakil rakyat selepas ini,” katanya.
Menurut Lee, kepimpinan yang mampu menunjukkan perpaduan serta fokus terhadap pembangunan berterusan lebih dipercayai rakyat, manakala perpecahan dalaman parti boleh menimbulkan ketidakpastian menjelang pilihan raya.
Seorang lagi penganalis politik, Mujibu Abd. Muis berpandangan bahawa, naratif ‘kerajaan teguh membawa pembangunan’ semakin berkesan, khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan pelabur.
“Imej fragmentasi menjejaskan kredibiliti, sebab itu saya lihat faktor ‘poster boy’ bakal Ketua Menteri boleh menjadi kelebihan, terutama kepada pengundi muda dan bandar,” katanya.
Mengulas corak sokongan pengundi, Mujibu menjelaskan empat faktor kritikal yang dijangka mempengaruhi keputusan PRN kali ini, iaitu bukti pelaksanaan ekonomi, isu identiti MA63, peranan pengundi muda serta kekuatan calon tempatan.
“Peralihan sokongan akan berlaku apabila janji disusuli bukti, dan apabila konfigurasi calon serta gabungan parti mengubah pembahagian undi. Hubungan akar umbi termasuk faktor keluarga besar, komuniti gereja atau jemaah masih memainkan peranan besar dalam menentukan kerusi.
“Jika gabungan stabil, pembahagian kerusi dapat diurus dengan baik, mesej kempen lebih tersusun dan jentera lapangan lebih efektif. Sebaliknya, jika berpecah, undi pembangkang akan terpisah dan persepsi terhadap kestabilan pasca pilihan raya turut terjejas,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Dr. Siti Yasmin Badrum, berkata tumpuan kempen kali ini dijangka berpusat pada usaha memperkukuh kemudahan asas, meningkatkan kesejahteraan ekonomi serta menjamin kestabilan pentadbiran negeri.
Katanya, selepas beberapa siri pertukaran kerajaan sejak 2018, pengundi kini menilai siapa yang mampu mentadbir secara konsisten, mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan serta mengekalkan hala tuju pembangunan negeri secara berterusan.
“Kecenderungan rakyat Sabah kini semakin beralih kepada politik berasaskan prestasi dan manfaat sebenar. Rakyat menilai parti dan calon berdasarkan hasil nyata dasar yang dilaksanakan sama ada keberkesanan projek pembangunan, kualiti perkhidmatan awam atau peluang pekerjaan,” katanya.
Yasmin berkata, golongan muda pula semakin peka terhadap isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian seperti kos sara hidup, peluang keusahawanan, pendidikan dan akses teknologi.
“Secara keseluruhan, rakyat Sabah kini lebih mengutamakan politik berasaskan hasil, kestabilan dan pembangunan berterusan berbanding percaturan politik jangka pendek,” katanya. – UTUSAN










